Belanjawan 2023 – Petani dan peniaga kecil tunjang negara
AYER KEROH 24 Februari – Mengurangkan bebanan kewangan, kos sara hidup dan pada masa yang sama memperkasa pembiayaan mikro antara yang diharapkan golongan B40 pada pembentangan Belanjawan 2023 petang ini.
Bagi golongan B40 tiga perkara itu perlu diberikan perhatian berikutan ketidaktentuan suasana ekonomi semasa yang memberikan kesan kepada kualiti hidup.
Sudah pasti ramai mengharapkan Belanjawan 2023 bersifat inklusif, stabil dan menyeluruh agar membawa manfaat kepada rakyat Malaysia.
Petani muda, Sayed Eryas Normayuddin Sayed Alias, 40, berkata, pertanian perlu diberikan fokus utama dalam usaha memastikan keterjaminan bekalan makanan.
Katanya satu entiti khas perlu diwujudkan bagi memastikan harga produk yang dikeluarkan petani berpatutan dengan harga pemborong.
“Entiti ini juga perlu memantau kebajikan petani yang terjejas akibat bencana. Selain itu kerajaan perlu menggalakkan lebih ramai petani muda berkecimpung dalam sektor ini pada masa akan datang.
“Pertanian mengikut zon dalam setiap daerah juga perlu dijalankan bagi memastikan bekalan yang dihasilkan sentiasa memenuhi permintaan pasaran,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu peniaga kecil, Rafi Ahmed, 44, menyokong saranan kerajaan bagi menggalakkan penyediaan menu Rahmah kepada pelanggan, namun pelaksanaan itu memerlukan beberapa penekanan bagi memastikan kelancarannya.
Jelasnya, kajian semula ke atas pembekalan bahan mentah bersubsidi perlu dilaksanakan berterusan bagi memastikan bekalan itu dapat dikeluarkan dengan lebih stabil malah dijual dengan lebih rendah.
“Kita harap subsidi bahan makanan seperti minyak, telur dan ayam dikekalkan. Bagi saya ini perlu untuk menstabilkan harga makanan.
“Bagi memperkasakan peniaga kecil kerajaan perlu memudahkan proses permohonan pembiayaan mikro tanpa syarat.
“Hal ini kerana ramai peniaga kecil yang baharu berkecimpung dalam bidang perniagaan berdepan kekangan untuk mendapatkan pembiayaan berikutan syarat yang diletakkan agensi terlibat tidak dapat dipenuhi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.