Bajet 2023: MATTA harap lebih banyak peruntukan promosi pelancongan
AYER KEROH 24 Februari – Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka berharap pembentangan Bajet 2023 turut memberi keutamaan kepada aktiviti mempromosikan produk pelancongan seluruh negara.
Pengerusinya, Goh Hock Gin berkata peruntukan itu perlu disalurkan kepada penggiat industri pelancongan, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negeri.
Katanya Negeri Melaka menjadi pilihan pelancong dari tiga negara iaitu Singapura, Indonesia dan Vietnam, berikutan itu peruntukan lebih besar perlu disediakan bagi tujuan promosi.
“Setakat ini pelancong luar datang ke Melaka hanya 20 peratus, dengan peruntukan ini sudah tentu kita dapat membawa ejen-ejen pelancongan memperkenalkan produk menarik di luar negara.
“Kita juga berharap Tourism Melaka atau Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka dapat bersama membantu kita dalam mempromosi produk di luar negara,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).
Katanya MATTA juga menyasarkan pelancong dari beberapa lagi negara di Asia Tenggara selain China, Hong Kong dan Taiwan menerusi promosi dijalankan.
“Jika tidak boleh lama, cukup hanya satu malam bagi. Kita juga sentiasa menantikan tempahan pelancong luar yang akan datang ke Melaka, biarpun pintu masuk utama pelancong adalah di Kuala Lumpur, Johor dan Singapura,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.