Mamee sumbang 2 kontena makanan untuk mangsa gempa
AYER KEROH 24 Februari – Kerajaan Negeri menerima dua kontena makanan untuk disumbangkan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye daripada syarikat Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, sumbangan makanan segera bernilai RM318,000 itu akan disalurkan menerusi Tabung Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi Turkiye dan Syria dilancarkan minggu lalu.
Sulaiman berkata sumbangan itu antara bantuan terawal diterima daripada Mamee-Double Decker dan akan diagihkan secara berperingkat bermula dengan Turkiye diikuti Syria.
“Kita sudah lancarkan tabung ini pada minggu lalu dan telah menerima maklum balas daripada beberapa agensi dan individu. Bagi sumbangan dari masjid dan surau akan dikumpulkan sebelum diserah kepada agensi bertanggungjawab.
“Sumbangan membabitkan 450,000 bungkus mi segera perisa daging dan udang, kos penghantaran serta logistik juga ditanggung Mamee-Double Decker,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyerahan sumbangan Misi Bantuan Gempa Bumi Turkiye di Seri Bendahara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dan Pengarah Eksekutif Mamee-Double DeckerDatuk Gary Choo Kok Sen.
Sementara itu, Gary berkata, inisitiaf itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilaksanakan pihaknya.
Menurutnya Mamee-Double Decker sentiasa bersedia dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam membantu golongan memerlukan.
“Pihak kami sentiasa bersedia untuk membantu mangsa bencana tidak kira di Negeri Melaka, Malaysia atau peringkat global,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.