Safari zoo antara produk baharu dibangunkan PBT
AYER KEROH 24 Februari – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan membangunkan pelbagai produk pelancongan baharu sepanjang tahun ini menjelang Tahun Melawat Melaka 2024.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata antara produk bakal dibangunkan adalah safari zoo, Rumah Reptilia dan Muzium Haiwan.
Zaidi berkata bagi produk sedia ada seperti Dataran Klebang dan Pantai Puteri pembangunan semula dan kerja naik taraf akan dilaksanakan.
Katanya selain itu setiap PBT juga akan memberikan penekanan mengenai aspek kebersihan taman-taman rekreasi dan merancang landskap lebih menarik.
“Contoh di Jasin, kita akan perkenalkan produk pelancongan baharu seperti safari zoo yang berkonsepkan seperti zoo di negara jiran. Lokasinya di Bukit Langsat dengan keluasan 117 hektar dan akan digazetkan pada tahun 2024.
“Sementara itu bagi muzium haiwan pula, pelawat boleh melihat haiwan yang sudah diawet. Manakala rumah peptilia pula akan diperkenalkan dalam Zoo Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Simbolik Pelepasan Kakitangan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengambil bahagian Program Ekspedisi Mengibarkan Bendera MPJ dan MPAG di Annapurna Base Camp di pejabatnya, di sini, semalam.
Hadir sama, Yang Dipertua MPJ Rosemanizam Mohammed Nalif dan Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Jelasnya, pelbagai pembangunan disusun namun tidak semua dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat kerana memerlukan peruntukan yang tinggi.
“Sekarang ini kita sedang usahakan Monumen Bendera Gergasi di Bukit Beruang. Binaan ini merupakan produk baharu yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.