Belanjawan 2024: Melaka sambut baik peruntukan fokus perubahan iklim

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PANTAI KUNDOR 14 Oktober – Pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam disifatkan bukan sahaja menyeluruh untuk rakyat, bahkan memberi impak besar kepada negara pada masa akan datang.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, ini kerana peruntukan itu turut memberi tumpuan kepada aspek perubahan iklim dan tenaga hijau di negara ini.

Jelasnya, dengan peruntukan berbilion ringgit bagi menjayakan inisiatif tersebut, ia bakal memberi manfaat besar dalam memberi kehidupan lebih baik kepada generasi akan datang.

“Seperti contoh, pelanjutan tempoh tawaran program Net Energy Metering (NEM) sehingga 31 Disember 2024 bagi menggalakkan lebih ramai memasang panel di premis kediaman.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya melalui Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (PTHM) akan memastikan inisiatif ini diperluaskan di seluruh negeri terutama kita akan menggalakkan penglibatan individu atau pemilik premis untuk pemasangan solar di bumbung rumah.

“Ini merupakan antara inisiatif yang cukup baik dalam membudayakan teknologi hijau dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Petronas Menyemai Masa Hadapan, Pembersihan Pantai dan Kitar Semula di Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Mohd Zaki Mahat; Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Ahmad Azlan Ahmad Salleh dan Ketua Ahli Majlis MBMB Abd Razak Abu.

Selain NEM, pembentangan Belanjawan 2024 turut memberi tumpuan kepada Peluncuran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) menggariskan enam pemacu utama peralihan tenaga.

Antaranya, ia melibatkan tenaga boleh baharu, hidrogen, mobiliti hijau serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

Dalam pembentangannya, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM563 juta bagi pembaikan cerun seluruh negara termasuk untuk program pemantauan, pencegahan dan pelaporan serta amaran awal melibatkan lebih 2,000 cerun yang berisiko tinggi.

Ia bagi mengekang tragedi tanah runtuh seperti yang berlaku di Batang Kali, Selangor lewat tahun lalu.

Pada masa sama, sejumlah RM20 juta disediakan kepada 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan parit dan longkang yang rosak bagi mengurang risiko air bertakung dan banjir kilat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1083
Kongsi :
Previous post Melaka cadang tubuh jawatankuasa khas pembersihan pantai
Next post Lembu siapa merayau di Lebuh AMJ?
Ubah saiz-+=