Melaka cadang tubuh jawatankuasa khas pembersihan pantai

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

PANTAI KUNDOR 14 Oktober – Sebuah jawatankuasa khas pembersihan pantai dicadang untuk ditubuhkan bagi memastikan pantai peranginan di Negeri Melaka kekal bersih dan memberi keselesaan kepada pengunjung.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, perkara itu akan diusulkan ke peringkat tertinggi negeri memandangkan tahun depan merupakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Sekiranya ia direalisasikan, beliau berkata, jawatankuasa tersebut bukan hanya melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi Kerajaan Negeri, bahkan ia akan turut membabitkan masyarakat setempat.

“Kita mahu jawatankuasa ini merangkumi dari peringkat teratas hingga ke bawah kerana kita percaya tanpa penglibatan masyarakat setempat inisiatif seperti ini tidak akan bergerak lama.

“Kita melihat aspek kebersihan terutama di pantai-pantai peranginan seluruh negeri perlu menjadi keutamaan kerana jika bersih, sudah pasti ini akan menggamit lebih ramai pelancong, khususnya menjelang TMM2024.

“Pada masa sama, saya juga menyeru dan mengajak rakyat serta pelancong yang datang supaya menjadikan amalan mengutip sampah sebagai satu budaya dalam memastikan keindahan dan kebersihan pantai diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Petronas Menyemai Masa Hadapan, Pembersihan Pantai dan Kitar Semula di Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Mohd Zaki Mahat; Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Ahmad Azlan Ahmad Salleh dan Ketua Ahli Majlis MBMB Abd Razak Abu.

IMG_20231014_084703
RAIS turut bersama sukarelawan mengutip sampah ‘litter’ yang ditinggalkan pengunjung di Pantai Puteri.

Program tersebut disertai kira-kira 300 sukarelawan terdiri daripada warga kerja Petronas, agensi-agensi kerajaan dan swasta, pengamal media, pelajar sekolah dan orang awam.

Menurut Rais, program tersebut merupakan antara usaha murni yang wajar dijadikan contoh dalam mendidik masyarakat khususnya anak muda mengenai kepentingan menjaga kebersihan pantai supaya ia boleh diwarisi generasi akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1187
Kongsi :
Previous post Jejak masjid warisan lebih dua abad
Next post Belanjawan 2024: Melaka sambut baik peruntukan fokus perubahan iklim
Ubah saiz-+=