Jejak masjid warisan lebih dua abad

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

Oleh: Iqmal Haqim Rosman

KOTA LAKSAMANA 14 Oktober – Masjid Kampung Kling yang terletak di Jalan Harmoni (dahulu dikenali sebagai Jalan Tukang Emas), di sini, merupakan antara salah satu masjid tertua di Melaka.

Ia telah dibina pada tahun 1748 dan ia dikatakan menjadi tapak sebenar di mana pedagang India Muslim yang datang ke Melaka untuk berdagang pada abad ke-14 dan 15 menunaikan solat sejurus setelah tiba di Melaka.

IMG_20231014_010852_667
MASJID Kampung Kling terletak di Jalan Harmoni. Foto Iqmal Haqim Rosman

Masjid ini mempunyai keunikan dalam seni reka struktur bangunan dan dekorasi yang melambangkan ketinggian ilmu seni bina dengan pengaruh dari pedagang Arab, Belanda, China, dan Jawa.

Malah, selepas beratus tahun, masjid ini masih mengekalkan nilai asli dan identiti Nusantara terutama pada ukiran kayu yang masih kekal sehingga hari ini.

IMG_20231014_010844_164
ANTARA pelancong yang mengabadikan kenangan bergambar di dalam Masjid Kampung Kling selepas menunaikan solat. Foto Iqmal Haqim Rosman

Lebih menarik, masjid ini terletak berhampiran kuil dan tokong, sekali gus menggambarkan keunikan masyarakat berbilang kaum, agama serta bangsa di negeri ini.

Ia secara tidak langsung menjadikan Jalan Harmoni sebagai antara persinggahan orang ramai bukan sahaja untuk beribadat, bahkan turut menjadi tempat tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Disebabkan jarak yang berdekatan dengan Masjid Kampung Hulu, pelaksanaan solat Jumaat diadakan secara bergilir-gilir di antara dua masjid ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1357
Kongsi :
Previous post Jamuan perpisahan berakhir tragedi
Next post Melaka cadang tubuh jawatankuasa khas pembersihan pantai
Ubah saiz-+=