Belia Jasin bincang tiga usul dalam Majlis Perundingan Belia

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

JASIN 9 Sept. – Persidangan Majlis Perundingan Belia Daerah Jasin yang diadakan baru-baru ini mengetengahkan tiga usul yang berkait rapat dengan cadangan pembangunan belia dan sukan daerah Jasin.

Program yang diadakan dengan kolaborasi dengan pelbagai wakil agensi turut mendapat perhatian langsung daripada Pegawai Daerah Jasin Datuk Anis Ali Hasan selaku pengerusi persidangan.

Majlis Perundingan Belia Daerah Jasin yang diadakan di Jasin Heritage Golf Club itu dilaksanakan dalam suasana kehadiran ahli persidangan yang minima seramai 20 orang sahaja sebagaimana garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara bagi mengawal penularan Covid-19 yang masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Anis dalam ucapan perasmiannya menekankan mengenai beberapa usul yang dicadangkan dan berharap ia diterima oleh kalangan pembuat dasar di peringkat kerajaan.

“Saya percaya, apa yang akan dibahaskan merupakan cadangan yang realistik untuk kita realisasikan kerana golongan belia juga berperanan besar dan memainkan peranan penting kepada negara.

“Justeru saya mengharapkan apa jua keputusan terbaik sebagai tanda sokongan dan dorongan kepada belia selain menjadikan usul tersebut sebagai semangat untuk kesinambungan aktiviti belia pada masa akan datang,” katanya baru-baru ini.

Antara usul yang diketengahkan pada persidangan tersebut ialah menaikkan bantuan kewangan kepada Jabatan Belia dan Sukan Melaka dari jumlah RM10,000 sebelum ini kepada RM100,000 pada masa akan datang.

Turut diusulkan mengenai usaha mempermudahkan Permohonan Bantuan PB01 KBS dan mengadakan Pejabat Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD) di setiap Kompleks Belia Dan Sukan Daerah-Daerah.

Anis dalam program tersebut juga turut mengumumkan pemenang Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Melaka yang menyaksikan daerah Jasin menyapu bersih Johan dan Naib Johan bagi kategori Pertubuhan Belia manakala Johan individu lelaki turut dimenangi oleh pemimpin belia dari daerah Jasin.

Turut hadir sama wakil Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Mohd Syahmi Md Lasa; Penolong Pendaftar Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, Mohd Uzaini Mohamad Sani; Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Nurul Haida Mohd Ghazali dan Pengerusi MGBD Jasin, Zaini Muhamad.

Views:

498
Kongsi :
Previous post Melaka Tropical Fruit Farm terima lawatan Menteri MOTAC
Next post Jabatan Kesihatan Negeri Melaka kesan penyamaran pegawai KKM ambil data
Ubah saiz-+=