Jabatan Kesihatan Negeri Melaka kesan penyamaran pegawai KKM ambil data

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH, 7 Sept. – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mengenal pasti terdapat sekumpulan individu yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang cuba memanipulasi maklumat peribadi pelanggan.

Kumpulan ini dikatakan mengambil maklumat pelanggan daripada buku rekod pendaftaran pelanggan (saringan kesihatan COVID-19) yang diletakkan di premis nombor ramalan serta makanan dan menggantikan dengan sebuah buku lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman berkata, selain pegawai KKM dan polis individu lain tidak mempunyai hak untuk memeriksa buku pendaftaran saringan COVID-19 yang diletakkan di premis-premis.

“Tindakan itu dikesan oleh pemilik premis terdapat individu yang mengambil data pelanggan dan kemudiannya meletakkan satu buku baharu yang tertera nama kementerian kesihatan didalam Bahasa Inggeris serta terdapat logo Jata Negara.

“Malah mereka juga didakwa turut menggunakan kad kuasa palsu dan difahamkan setakat ini kejadian dikatakan berlaku di sekitar Melaka Tengah,” katanya.

Menurut beliau, JKN Melaka ingin mengingatkan kepada semua pemilik premis agar tidak sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat peribadi pelanggan kepada pihak lain.

“JKN ingin menegaskan bahawa tiada arahan dikeluarkan kepada mana-mana anggota di JKN dan Pejabat Kesihatan Daerah untuk berbuat demikian.

“Malah pihak kami sudah membuat laporan di Balai Polis Bukit Baru, petang ini mengenai tindakan ini untuk tindakan lanjut,” katanya.

Rahmad berkata, pihaknya bimbang sekiranya tindakan itu boleh menyebabkan pelanggan menjadi mangsa penipuan scam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan menerima laporan membabitkan insiden itu.

“Ada laporan diterima dan perkara berkenaan masih dalam siasatan pihak polis serta belum ada sebarang tangkapan dibuat,” katanya.

Views:

613
Kongsi :
Previous post Belia Jasin bincang tiga usul dalam Majlis Perundingan Belia
Next post Replika kereta lembu simbolik junjung warisan
Ubah saiz-+=