Berat hati lepaskan atuk tiri

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

JASIN 3 Julai – “Saya sudah berjanji untuk menjaganya hingga ke akhir hayat, namun apakan daya mungkin dia lebih selamat di rumah kebajikan kerana di sana semua terjaga.

“Walaupun kami kini berjauhan, saya sesekali tidak akan buangnya daripada hidup walaupun dia hanya atuk tiri,” luah Rizal Tumiran, 41.

Dia terpaksa merelakan datuk tirinya Kassim Lang Abdullah, 73, dihantar ke Rumah Seri Kenangan Cheng, oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kira- kira jam 11 pagi kelmarin.

Warga emas terbabit sebelum ini hidup bersendirian di sebuah pondok di atas tanah milik Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, di Nyalas.

Menurut Rizal, sebelum ini dia yang menguruskan kehidupan harian datuknya itu sebagai membalas jasa menjaganya dari kecil.

“Sebagai bapa tunggal rutin harian saya sangat padat kerana selain perlu menguruskan tiga anak masih bersekolah, saya juga menjaga makan minum atuk.

“Tekad saya selagi ada tenaga dia akan saya jaga namun apakan daya. Jarak bukan penghalang untuk saya menjenguknya di sana nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan turut meluang masa apabila terpaksa memujuk warga emas terbabit.

“Sebaik mendapat tahu mengenai kehidupan Kassim Lang saya terus mengarahkan petugas kebajikan untuk segera turun padang melihat keadaannya serta menghulurkan bantuan makanan.

“Selepas berbincang dengan beberapa pihak termasuk JKM dan Rizal, kehidupan warga emas terbabit dilihat lebih terjaga dan selesa berada di Rumah Seri Kenangan,” katanya.

Views:

307
Kongsi :
Previous post PERTAM bercadang majukan tanah terbiar
Next post Kerajaan tumpu usaha tangani kelembapan ekonomi – Tengku Zafrul
Ubah saiz-+=