Kerajaan tumpu usaha tangani kelembapan ekonomi – Tengku Zafrul

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KUALA LUMPUR 3 Julai – Kerajaan sedang memberi tumpuan terhadap usaha bagi menangani kelembapan ekonomi negara sebelum bertindak merangka Belanjawan 2021.

Malah, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan kementerian terbabit akan turut melibatkan rakyat serta komuniti perniagaan bagi mendapatkan input untuk belanjawan berkenaan.

“Masih terlalu awal untuk berbicara mengenai Belanjawan 2021 kerana kita akan hanya mengumumkannya pada November depan.

“Namun, apa yang penting adalah kita perlu mula melibat urus perniagaan dan rakyat sekarang.

“Kita telah meneliti keadaan, melihat rakyat yang (kembali) bekerja serta ekonomi yang semakin meningkat. Inilah yang berlaku dan diharapkan Belanjawan 2021 itu dapat memaparkan serta berasaskan momentum tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Jalan Ampang di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul juga berharap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga dan keempat akan menampakkan peningkatan.

“KDNK untuk suku kedua masih belum diumumkan…namun kita semua tahu bahawa sebahagian besar daripada tempoh itu meliputi Perintah Kawalan Pergerakan dan akan mencatat pertumbuhan negatif,” katanya.

Pada 25 Jun lepas, pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula unjuran ekonomi Malaysia yang menguncup kepada 3.8 peratus tahun ini berbanding penguncupan 1.7 peratus yang dibuatnya sebelum ini.          Sementara itu, Bank Dunia berkata KDNK Malaysia dijangka menguncup kepada 3.1 peratus tahun ini berikutan kelembapan kegiatan ekonomi akibat pandemik COVID-19 serta langkah-langkah bagi membendung penularannya.

Selain itu, Tengku Zafrul mengingatkan walaupun tempoh buruk bagi Malaysia mungkin telah berakhir namun semua pihak perlu berwaspada dan tidak terlalu selesa dengan keadaan COVID-19.

“Kita mengandaikan tiada lagi (kes jangkitan). Sekiranya gelombang kedua tidak berlaku, kita sepatutnya berada pada kedudukan untuk mencapai unjuran bagi 2021.

“Jika anda lihat pendapat konsensus penganalisis (sebelum ini), pertumbuhan ekonomi adalah sekitar 5.0 peratus menjelang tahun depan,” katanya.

– BERNAMA

Views:

279
Kongsi :
Previous post Berat hati lepaskan atuk tiri
Next post SPRM ambil keterangan beberapa kakitangan KOMTAR
Ubah saiz-+=