PERTAM bercadang majukan tanah terbiar

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

BUKIT KATIL 3 Julai – Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM) bercadang memajukan tanah-tanah terbiar di negeri dalam sektor pertanian.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, PERTAM memberi fokus utama menyediakan platform kepada usahawan di negeri ini yang berminat dalam sektor tersebut.

“Mungkin ada sesetengah usahawan tidak mempunyai tanah sendiri untuk majukan bidang pertanian, jadi kita mainkan peranan untuk berbincang dengan mana-mana tuan tanah yang ada.

“Daripada tanah tersebut terbiar dan tidak dimanfaatkan, lebih baik kita majukan dalam sektor pertanian, sekali gus memberi keuntungan kepada pemilik tanah dan usahawan,” katanya kepada MHI.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak Program Tuaian Hasil Tanaman Fertigasi di Batu 4 Bukit Duyong, hari ini.

Ujarnya, PERTAM pada masa sama sedang menaikkan nilai-nilai tanah bumiputera iaitu Tanah Adat Melaka (MCL).

“Buat masa ini banyak projek pembangunan hartanah sedang dilaksanakan, justeru kita nak buat juga di peringkat pertanian.

“Jika ada tanah-tanah terbiar kita akan usahakan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI),” katanya.

Hadir sama, Pengarah MARDI Melaka, Nik Adli Nik Mohd; Ketua Projek Rezeki Tani MARDI Serdang, Kamaruzaman Ahmad dan pengusaha tanaman fertigasi, Ibharim Baharin.

Mohd Ridhwan berkata, ilmu dan sokongan yang tinggi mampu menjadikan sektor pertanian berkembang maju dan terus mendapat permintaan masyarakat.

Views:

313
Kongsi :
Previous post Pembangunan Dataran Keris & Pasar Besar Alor Gajah akan dipergiat
Next post Berat hati lepaskan atuk tiri
Ubah saiz-+=