Besar makna masuk percuma untuk keluarga kurang mampu

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 Februari – Inisiatif Kerajaan Negeri Melaka menawarkan kemasukan percuma di 10 produk pelancongan mendapat reaksi positif orang ramai.

Tinjauan Melaka Hari Ini di beberapa produk pelancongan mendapati rata-rata pengunjung berpuas hati dengan tawaran istimewa itu meskipun terpaksa beratur panjang.

Seorang pengunjung dari Skudai, Johor Alia Anis Mohd Huri, 30, berpendapat, inisiatif berkenaan membawa makna cukup besar, khususnya kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Katanya, dengan tawaran masuk percuma itu, dia dapat membawa lapan ahli keluarga menikmati pengalaman menelusuri Sungai Melaka dengan menaiki Melaka River Cruise.

“Apabila dapat tahu ada tawaran masuk percuma di radio dan media sosial, saya dan keluarga terus merancang ke Negeri Melaka.

“Walaupun pernah ke Melaka sebelum ini, namun kami tidak pernah menaiki Melaka River Cruise. Alhamdulillah kali ini kami berkesempatan untuk masuk secara percuma,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Norlida Mohd Noor, 37, memanfaatkan hari istimewa sempena cuti umum memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ini dengan membawa seisi keluarga ke Muzium Penjara Malaysia, Melaka River Cruise dan Balai Cerap Al-Khawarizmi.

Dia yang berasal dari Paya Rumput Permai berkata, walaupun terpaksa beratur panjang, namun semua itu sanggup diredahi demi anak-anak dan anak-anak buahnya.

“Semua semangat mahu berjalan-jalan sempena cuti umum sampai ada anak buah saya yang tak dapat tidur malam tadi.

“Alhamdulillah di sebelah pagi kami sudah melawat Muzium Penjara dan tengahari di Melaka River Cruise. Insya-Allah pada sebelah petang kami akan ke Balai Cerap Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara pula.

“Pada saya inisiatif ini (masuk percuma) amat baik, cuma saya harap jika boleh Kerajaan Negeri menambah hari inisiatif ini agar lebih ramai dapat menikmatinya bersama keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

536
Kongsi :
Previous post Aliran trafik di Melaka pada skala 1
Next post PTHM kenal pasti 40 lokasi baharu bina stesen cas kenderaan elektrik
Ubah saiz-+=