PTHM kenal pasti 40 lokasi baharu bina stesen cas kenderaan elektrik

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KESIDANG 20 Februari – Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) mengenal pasti 40 lokasi baharu sekitar Bandar Melaka bagi pembinaan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV).

Ketua Pegawai Eksekutif PTHM, Ts. Mohd Hafizam Mustaffa berkata, bagaimanapun pihaknya sedang mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat swasta untuk merealisasikan hasrat itu.

“Pengecas EV ini ada dua jenis iaitu jenis aliran terus (DC) dan aliran ulang-alik (AC). Stesen pengecas DC ini tempoh masa mengecas adalah lebih cepat.

“Tetapi kalau untuk EV yang parkir lama seperti bermalam di hotel dan sebagainya boleh menggunakan AC, kalau parkir sekejap dalam 30 atau 40 minit perlu guna DC.

“Selepas ini kita akan bekerjasama dengan lebih banyak syarikat ternama di Malaysia yang boleh membawa masuk teknologi mereka ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Evpower Charging Hub 2024 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mtyheen Kunju Basheer; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem serta Ketua Pegawai Eksekutif Evpower, Cornelius Ee.

Katanya, setakat ini Melaka mempunyai sebanyak 118 petak parkir pengecasan kenderaan elektrik dan jumlah itu akan bertambah selepas mendapat kerjasama pelbagai syarikat swasta.

“PTHM sentiasa bertindak menjadi peneraju utama dalam pembangunan teknologi hijau Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

821
Kongsi :
Previous post Besar makna masuk percuma untuk keluarga kurang mampu
Next post 2,600 pin Touch’n Go RM20 percuma diagihkan
Ubah saiz-+=