Bila Larut Malam: Pelancong rasa berbaloi bercuti ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 2 Jun – Rata-rata pengunjung dan pelancong meluahkan rasa berbaloi memilih Melaka sebagai destinasi percutian berikutan pelbagai inisiatif dan tawaran menarik disediakan Kerajaan Negeri.

Antara yang menarik perhatian ialah Program Bila Larut Malam yang diperkenalkan pada Sabtu pertama setiap bulan dengan menawarkan harga tiket RM10 sahaja bagi kemasukan ke beberapa produk tarikan pelancong.

Pelancong dari Johor Bahru, Ifdharmawan Ismail, 38, berkata, tawaran itu cukup menarik untuknya yang datang bercuti ke negeri ini bersama lapan ahli keluarga.

“Saya dapat tahu tawaran ini di platform media sosial dan mengambil kesempatan untuk membawa keluarga bercuti ke Melaka.

“Bagi saya memang sangat berbaloi dan menjimatkan perbelanjaan untuk kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di Menara Taming Sari.

Nada sama turut disuarakan Nur Faraliana Abdul Talib, 34, yang menyifatkan percutiannya bersama keluarga selama tiga hari dua malam ke negeri ini sebagai langkah kanan.

Dia yang datang dari Selangor bersama tujuh lagi ahli keluarga gembira kerana dapat menikmati tawaran harga istimewa sempena Program Bila Larut Malam.

“Bila dimaklumkan ada tawaran istimewa seperti ini memang rasa berbaloi terutama bagi mereka yang mempunyai anak yang ramai.

“Ini juga seperti hadiah hari jadi untuk saya yang menyambut ulang tahun kelahiran pada 1 Jun. Jadi, ini peluang untuk saya dan keluarga menikmati tawaran istimewa ini,” katanya.

Sementara itu, pelancong dari Temerloh, Pahang, Muhammad Azwan Mohd Faizal, 21, menyuarakan keterujaan apabila melihat suasana pelancongan Melaka yang cukup berbeza dengan negeri-negeri lain.

Katanya, melihat kawasan pelancongan masih dibanjiri pengunjung dan pelancong meskipun telah melangkaui tengah malam sebagai sesuatu yang istimewa.

“Memang berbeza apabila melihat tempat pelancongan masih meriah dan dihiasi lampu berwarna-warni seperti ini.

“Bagi saya, ia inisiatif yang amat baik kerana ia memberi peluang kepada semua golongan menikmati tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi sehingga lewat malam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

916
Kongsi :
Previous post Lebih 4,000 pelawat serbu Zoo Melaka
Next post Bila Larut Malam dapat reaksi positif peniaga
Ubah saiz-+=