Bila Larut Malam: Pengayuh beca ‘mandi peluh’

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

BANDA HILIR 3 Jun – Inisiatif Bila Larut Malam atau ‘Melaka Nightlife’ yang diadakan pada 1 Jun lalu memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai pihak, termasuklah pengayuh beca.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati, pengayuh beca yang juga ikon pelancongan negeri mendapat sambutan hebat daripada pengunjung dan pelancong yang hadir.

Seorang pengayuh beca muda, Mohd Firman Khamis, 19, mengakui ‘bermandi peluh’ apabila becanya mendapat tempahan daripada orang ramai sejak jam 6 petang lagi.

“Alhamdulillah boleh kata lebih 10 tempahan diterima dan memang saya bermandi peluh sebaik bermula pada 6.30 petang.

“Bagi saya yang menjadikan beca sebagai kerjaya sampingan memang bersyukur kerana inisiatif ini sedikit sebanyak memberi tempias rezeki untuk saya,” katanya yang masih belajar di Universiti Islam Melaka, Kuala Sungai Baru.

Sementara itu, seorang lagi pengayuh beca Ahmad Azhan Fikry Munawir, 26, turut bersyukur cuti sekolah selama seminggu, selain inisiatif Bila Larut Malam yang diadakan memberi rezeki lebih untuknya dan keluarga.

“Bagi saya jika program seperti ini mendapat sambutan dan semakin baik ia wajar diteruskan kerana pengayuh beca juga dapat pendapatan lebih.

“Tetapi jika makin merudum, kami berharap mungkin boleh difikirkan inisiatif lebih baik. Kami harapkan yang terbaik daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

319
Kongsi :
Previous post Pengunjung impikan ‘Melaka Bila Larut Malam’ setiap minggu
Next post MB, KM zahir ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Agong
Ubah saiz-+=