BISTARI ‘ejen’ bawa suara rakyat – KM

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 19 Mei – Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) turut memainkan peranan besar dalam menjayakan misi Kerajaan Negeri untuk mensejahterakan rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, peranan persatuan itu terutama dalam melaksanakan aktiviti kebajikan dan menyantuni rakyat yang memerlukan amat dialu-alukan.

Justeru, katanya dalam merealisasikan hasrat tersebut, barisan jawatankuasa yang dilantik perlu berkhidmat dengan penuh rasa ikhlas, berintergriti dan amanah.

“Saya berbesar hati kerana dapat bersama dengan barisan jawatankuasa dan ahli-ahli BISTARI pada pagi ini dan berharap Mesyuarat Agung hari ini akan menjadikan BISTARI sebuah organisasi lebih terbuka untuk membuat penambahbaikan daripada segi prestasi, gerak kerja serta hala tuju persatuan.

“Sebuah jawatakuasa baharu yang akan dilantik nanti diharap boleh membawa BISTARI ke arah lebih cemerlang, membantu membawa suara rakyat dalam menyelesaikan isu atau permasalahan semasa melalui perbincangan dengan pihak kerajaan menerusi saluran-saluran tertentu.

“BISTARI dapat menjadi contoh dan ikutan kepada badan-badan sukarela yang lain dalam melakukan amal kebajikan dan menyantuni rakyat yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung BISTARI Negeri Melaka kali ke-40 di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama pada mesyuarat itu Pengerusi BISTARI Negeri Melaka, Datin Seri Zuriyah Abd Aziz.

WhatsApp Image 2023-05-19 at 11.34.07 AM
AB Rauf diiringi Pengerusi BISTARI Negeri Melaka, Datin Seri Zuriyah Abd Aziz pada Perasmian Mesyuarat Agung BISTARI Negeri Melaka kali ke-40.

Ab Rauf yang juga penasihat BISTARI berharap mesyuarat itu nanti dapat memberi ruang kepada persatuan membincangkan program-program yang bersesuaian untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa demi kepentingan rakyat.

“Insya-Allah dengan semangat dan kegigihan semua ahli BISTARI, segala hala tuju yang akan ditentukan dapat dicapai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1450
Kongsi :
Previous post SKM, ANGKASA raikan rakan strategik dalam suasana Aidilfitri
Next post Kerani maut tercampak dalam longkang
Ubah saiz-+=