BN pertaruhkan 86 peratus muka baharu, hanya kekalkan empat penyandang

Masa Membaca:2 Minit, 37 Saat

KUALA LUMPUR 6 Nov – Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan 86 peratus calon muka baharu manakala hanya empat penyandang dikekalkan bagi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, diumum antara calon bertanding pada pilihan raya itu dengan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Selain itu, turut dicalon semula bagi PRN ini ialah penyandang kerusi DUN Ayer Molek dan Serkam iaitu Datuk Rahmad Mariman Molek dan Datuk Zaidi Attan.

Penyandang DUN Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis turut terpilih sebagai calon BN meskipun sebelum ini memenangi kerusi itu di atas tiket PKR.

Dalam pada itu, BN turut mencalonkan semula Datuk Abd Razak Abd Rahman bagi kerusi DUN Telok Mas, selain mengekalkan dua penyandang dari MCA Datuk Lim Ban Hong (Klebang) dan Datuk Koh Chin Ann (Bemban) meskipun ketiga-tiga mereka tewas di DUN berkenaan sebelum ini.

Tumpuan sudah pasti terarah kepada 21 muka baharu yang dicalonkan pada PRN kali ini.

Mendahului senarai muka baharu ialah Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang bertanding di DUN Tanjung Bidara, manakala Timbalannya Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad pula dipilih bertanding bagi kerusi DUN Sungai Udang.

Turut dicalonkan pada PRN Melaka ialah anak kepada bekas Ketua Menteri kelapan yang juga Ketua Puteri UMNO Jasin, Datuk Khaidhirah Abu Zahar di DUN Rim, manakala anak bekas Ketua Menteri ketujuh, Zulkiflee Mohd Zin di DUN Taboh Naning.

Selain itu dua anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka turut dipilih sebagai calon BN iaitu Datuk Rais Yasin yang bertanding di DUN Paya Rumput dan Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai).

Paling mencuri perhatian ialah pencalonan beberapa calon muda yang menjawat jawatan Pemuda UMNO Bahagian dan cawangan yang dipilih bertanding pada PRN kali ini.

Senarai itu didahului dengan Ketua Pemuda UMNO Melaka, Fairul Nizam Roslan yang akan bertanding di Asahan, diikuti Naib Ketuanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh di Merlimau.

Selain itu, turut terpilih ialah Ketua Pemuda UMNO Kota Melaka Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Duyong).

Senarai lain yang mewakili UMNO ialah Datuk Wira Hasnoor Sidang Husin di Bukit Katil; Datuk Kalsom Nordin (Pengkalan Batu); Zahari Abdul Kalil (Durian Tunggal); Tuminah Kadi (Pantai Kundor); Rosli Abdullah (Kuala Linggi) dan Hameed Mytheen Kunju Basheer (Ayer Limau).

Sementara itu, parti komponen BN iaitu MCA pula akan mempertaruhkan beberapa muka baharu seperti Benjaminn Low Chin Hong (Kota Laksamana), Lee Kah Sean (Banda Hilir), Ngwe Hee Sem (Machap Jaya) serta calon termuda mewakili BN iaitu Leong Hui Ying, 29 yang akan bertanding di Kesidang.

Satu-satunya calon MIC yang akan dipertaruhkan pada PRN kali ini ialah V P Shanmugam yang akan bertanding di Gadek.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Sulaiman.

Melaka mempunyai 28 kawasan DUN dan seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi terdiri lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus wanita.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

426
Kongsi :
Previous post Senarai penuh calon BN bertanding di PRN Melaka
Next post Norhizam nafi bertanding atas tiket Pejuang
Ubah saiz-+=