Norhizam nafi bertanding atas tiket Pejuang

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

MELAKA, 6 Nov – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee menafikan laporan bahawa beliau akan bertanding di bawah tiket parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung 20 Nov ini.

Norhizam berkata beliau kekal bebas tanpa menjadi ahli parti politik sehingga kini.

“Saya dari dulu bebas, sampai sekarang pun saya bebas, bebas bersuara, bebas buat kerja. Saya akan panggil media dalam masa terdekat ini, ok,” katanya ringkas kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu hari ini, sebuah portal melaporkan Norhizam bakal menjadi calon tunggal parti Pejuang pada PRN Melaka kali ini.

Norhizam, 55, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, memenangi kerusi Pengkalan Batu atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun pada 2 Mac 2020, Norhizam yang juga timbalan pengerusi DAP Melaka ketika itu, menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri baharu di bawah Perikatan Nasional (PN), lalu dipecat oleh DAP.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

PRN itu diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli DUN (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Norhizam, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

350
Kongsi :
Previous post BN pertaruhkan 86 peratus muka baharu, hanya kekalkan empat penyandang
Next post PAS kecewa BN bergerak solo
Ubah saiz-+=