PAS kecewa BN bergerak solo

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

MASJID TANAH 6 Nov – Hasrat PAS Melaka untuk memperkukuh kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri tidak menjadi kenyataan selepas BN mengambil keputusan bergerak solo.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata, PAS negeri menyifatkan keputusan itu sebagai ‘kurang bijak’ dan tidak membantu usaha untuk memperkasa perjuangan politik Melayu dan Islam.

Meskipun agak kecewa dengan keputusan beliau berkata, PAS tidak mahu berlengah dalam mempersiapkan jentera parti serta memperkukuh kerjasama dengan Bersatu dan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN).

“Kami kecewa dengan keputusan itu kerana kami mahu UMNO bersama-sama kami menafikan penguasaan PH tetapi apakan daya, keputusan sudah dibuat.

“Insya-Allah kami akan terus berusaha bersama-sama BERSATU dan GERAKAN dalam Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan PH tidak kembali berkuasa di Melaka kali ini,” katanya ketika dihubungi selepas menghadiri Muktamar Tahunan PAS Ke-67 di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, BN bergerak solo pada PRN Melaka.

Sehubungan itu, Kamarudin berkata, pertembungan tiga penjuru antara PN dengan BN dan PH tidak mampu dielakkan dan ia dibimbangi memberi kelebihan kepada PH.

“Kami mahu mengelakkan pertembungan tiga penjuru kerana ia amat merugikan orang Melayu dan Islam tetapi ia tidak mampu dijadikan kenyataan kali ini,” katanya.

Mengenai kerusi dijangka ditandingi calon PAS dalam PN, beliau berkata, hasil perbincangan PAS dengan parti komponen PN, PAS dijangka diberikan sembilan kerusi.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada pengumuman calon PN di Shah Alam petang ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

404
Kongsi :
Previous post Norhizam nafi bertanding atas tiket Pejuang
Next post Tiada dendam, kami terus sokong parti
Ubah saiz-+=