Sorting by

×

BN tidak ambil tindakan terhadap 10 Ahli Parlimen sokong PN – Ahmad Zahid

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil tindakan terhadap 10 Ahli Parlimennya yang sebelum ini menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara berkenaan telah berlalu dan kini kesemua 10 Ahli Parlimen berkenaan telah bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

”Saya telah nyatakan saya telah memaafkan apa yang berlaku itu tetapi saya akan terus bersama Lembaga Disiplin parti melakukan pemantauan terhadap pendirian yang ada sekarang atau sama ada mereka ada melakukan mana-mana gerakan.

”Tetapi saya yakin, mereka menyokong dan memberi dukungan kepada kerajaan yang ada sekarang dan saya yakin kesilapan langkah terdahulu adalah kerana situasi ketika itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Presiden UMNO itu berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan sama ada BN akan mengambil tindakan terhadap 10 Ahli Parlimen berkenaan seperti yang didedahkannya pada taklimat khas presiden yang diadakan secara tertutup sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata parti perlu terus bergerak ke hadapan dan menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran.

“Keputusan MT (Majlis Tertinggi UMNO) dan BN semua gerakannya harus secara en bloc, cara satu pasukan. Oleh kerana semua 30 (Ahli Parlimen) ini termasuk 10 itu telah bersama-sama mendukung semula, saya tidak fikir tindakan itu dilakukan secara dendam. Kita hendaklah bergerak ke hadapan untuk melakarkan realiti baharu politik tanah air,” katanya.

Mengenai poster ‘reset UMNO’ yang tersebar pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini, Ahmad Zahid berkata tiada masalah untuk parti meraikan perbezaan pandangan namun ia tidak seharusnya menjurus ke arah perpecahan.

”Semalam saya nyatakan bahawa esok pada Jumaat, dalam ucapan (dasar) saya, saya akan menggariskan hala tuju baharu UMNO yang menjadi tulang belakang BN untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN), pilihan raya umum dan lain-lain gerakan massa yang harus mendakap semula dukungan akar umbi dan mereka yang tidak berparti supaya dapat bersama-sama memahami dan akhirnya menyokong BN,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah melancarkan pavilion kementerian itu dan meluangkan masa lebih 30 minit melawat reruai di bawah kementerian itu antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA), Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2012
Kongsi :
Previous post COVID-19: Kes masih terkawal, tidak perlu hingga tutup sempadan – Dr Zaliha
Next post UMNO diseru ‘buka gelanggang’ pemilihan, tawar semua jawatan
Ubah saiz-+=