Boleh solat tanpa ragu-ragu di stesen minyak

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

DUYONG 12 Januari – Sebanyak 45 stesen minyak Petronas di negeri ini telah menerima sijil arah kiblat daripada Jabatan Mufti Negeri Melaka.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, sijil itu sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna dan orang ramai untuk menunaikan solat di setiap surau yang disediakan di stesen minyak berkenaan.

“Buat masa ini, sebanyak 45 stesen minyak Petronas di Melaka kita telah berikan sijil arah kiblat yang mendapat pengesahan daripada Jabatan Mufti.

“Tahniah kepada Petronas yang cakna dan prihatin dalam menentukan arah kiblat di seluruh stesen minyak khususnya di Melaka ini.

“Dengan adanya inisiatif ini pengguna yang singgah ke stesen minyak ini untuk menunaikan ibadah lebih yakin lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Arah Kiblat & Star Rating Stesen Minyak Petronas Negeri Melaka mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Stesen Minyak Petronas Semabok di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Runcit (Bahan Api) Petronas Dagangan Berhad Norazlan Subaha dan Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain syarikat atau agensi, Jabatan Mufti Negeri Melaka juga sedia membantu mana-mana individu yang mempunyai keraguan mengenai arah kiblat di rumah mereka.

“Bagi permohonan individu seperti di rumah persendirian hanya dikenakan bayaran RM100, boleh mohon di Jabatan Mufti Negeri Melaka.

“Tahun lepas lebih 150 premis diperiksa Jabatan Mufti dan permohonan individu untuk rumah sahaja hampir 80 orang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1727
Kongsi :
Previous post Menyamar buru pembuang sisa komersial haram
Next post PPS dibuka di Sahom, tempatkan 86 mangsa banjir kilat
Ubah saiz-+=