Sorting by

×

Bomba Melaka terima ‘4×4’ baharu, persediaan hadapi banjir

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 28 Ogos – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menerima empat kenderaan pacuan empat roda baharu bernilai RM450,000 bagi persediaan menghadapi bencana banjir di negeri ini.

Pengarah JBPM Melaka, Abu Bakar Katain berkata, empat kenderaan baharu itu akan digunakan apabila negara beralih ke fasa Monsur Timur Laut dijangka pada Oktober sehingga Mac tahun depan.

“Selain kenderaan baharu, kita juga menempatkan seramai 65 anggota baharu di semua balai yang ada di negeri ini sekali gus menjadikan seramai 517 anggota bomba yang ditugaskan di Melaka.

“Pada bulan September ini juga kita akan mengadakan kursus di Pulau Besar melibatkan 60 anggota bomba daripada pasukan khas antara Negeri Sembilan dan Melaka.

“Pasukan khas ini melibatkan semua unit yang ada dalam JBPM supaya mereka bersiao sedia untuk menghadapi musim banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat pelepasan Program Kembara Merdeka anjuran Melaka Truckers Club (MTC) di JBPM Ayer Keroh di sini, hari ini, yang turut dihadiri Presiden MTC, Yusri Ardy Jalil.

WhatsApp Image 2022-08-28 at 1.32.45 PM
ABU Bakar bersama anggota dan ahli MTC bergambar bersama pada program tersebut.

Katanya, setakat ini anggota JBPM Melaka telah pun bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bencana banjir.

“Kita tumpukan beberapa lokasi panas yang kerap berlaku bencana banjir seperti di Lubok China, Alor Gajah, Jasin dan Merlimau.

“Justeru, kita menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati semasa menghadapi Monsun Timur Laut.

“Kita tak mahu ada kejadian kehilangan nyawa, kecederaan dan sebagainya, pastikan anak-anak di bawah pengawasan dan dokumen penting disimpan di tempat yang selamat,” katanya.

Pada program tersebut sebanyak 47 kenderaan pacuan empat roda telah menyertai kembara merdeka melibatkan seramai 100 ahli MTC.

Kembara berkenaan akan menjelajah di kesemua Balai Bomba melibatkan tiga daerah di negeri ini bagi menyampaikan mesej kemerdekaan dan ceramah berkenaan tugas anggota bomba.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1762
Kongsi :
Previous post Fiesta serlah elemen rakyat Melaka
Next post Elaun Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela naik kepada RM800
Ubah saiz-+=