Bonus sebulan setengah gaji buat kakitangan SAMB

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDARAYA MELAKA 29 Oktober – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengumumkan bonus sebulan setengah gaji buat kakitangan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sempena sambutan Jubli Emas ke 50 tahun kali ini.

Beliau yang merangkap Pengerusi SAMB berkata, inisiatif itu adalah sebagai penghargaan buat seluruh kakitangan syarikat berkenaan.

“Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat merakamkan ucapan terima kasih atas perkhidmatan yang anda semua berikan. Begitu juga kepada keluarga warga kerja SAMB pada hari ini, kerana meminjamkan masa bapa, abang, ibu, kakak anda semua untuk digunakan bagi memenuhi permintaan pengguna negeri ini.

“Memandangkan Prestasi Kewangan SAMB sangat memberansangkan dan menunjukkan peningkatan positif berbanding tahun-tahun sebelumnya, saya dengan ini mengumumkan pemberian imbuhan tahunan (bonus) sebanyak sebulan setengah gaji bagi menghargai jasa dan pengorbanan warga kerja SAMB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Keluarga SAMB sempena Jubli Emas 50 Tahun diadakan di Stadium Hang Tuah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Rahmad Mariman; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan; Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam serta tetamu lain.

Sulaiman dalam ucapannnya menaruhkan harapan SAMB untuk memastikan Negeri Melaka bebas daripada stigma ‘Water Stress State’ agar perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi kehendak pengguna.

“Sebagai Water Stress State, kekurangan bekalan air mentah merupakan salah satu cabaran besar bagi Negeri Melaka, pembangunan yang pesat telah menyebabkan permintaan air bersih semakin meningkat dari hari ke hari.

“Oleh yang demikian, dengan perancangan rapi SAMB dilihat sentiasa selari dengan perancangan Kerajaan Negeri dalam merangka projek-projek sumber air mentah, pembinaan loji rawatan air baharu selain projek menaik taraf aset bekalan air.

“Saya berharap SAMB dapat bebaskan stigma Melaka sebagai Water Stress State untuk memastikan kestabilan bekalan air dengan perancangan yang dibuat oleh SAMB melalui Pelan Rancangan Perniagaan yang ke 5 (BPOP5) bagi tahun 2021 hingga 2024. Ia telah diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara yang bertemakan ‘Toward Smart Water Management’ dan Pelan Jangka Panjang Blueprint Bekalan Air Negeri Melaka 30 tahun sehingga tahun 2050,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2323
Kongsi :
Previous post SAMB sambut Jubli Emas 50 Tahun
Next post Leka layan pelanggan, 44 PATI dicekup di Festival Makanan Thailand
Ubah saiz-+=