Leka layan pelanggan, 44 PATI dicekup di Festival Makanan Thailand

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 29 Oktober – Seramai 44 pekerja asing tanpa izin (PATI) yang sedang leka melayan pelanggan di dua tapak Festival Makanan Thailand ditahan Jabatan Imigresen Melaka dalam Ops Selera di Batu Berendam dan Ayer Keroh, malam tadi.

Dalam serbuan bermula dari jam 5 petang dan 10.30 malam itu, kesemua PATI berusia antara 21 hingga 55 tahun yang bekerja sebagai jurujual makanan itu didapati tidak mempunyai permit kerja yang sah.

Pengarah Imigresen Negeri, Anirwan Fauzee Aini berkata, PATI terbabit melibatkan 34 warga Thailand, sembilan warga Indonesia dan seorang warga Myammar.

“Kesalahan nyata dilakukan adalah dibawah Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang telah ditetapkan.

“Ketika serbuan dilakukan kesemua warga asing tersebut tidak menyedari kehadiran anggota penguatkuasa kerana sedang leka melayani pelanggan di gerai masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Anirwan Fauzee berkata, pihaknya turut menahan penganjur festival terbabit yang didapati gagal mengemukakan sebarang kelulusan daripada agensi berkaitan bagi membenarkan warga asing menjalankan aktiviti perniagaan sepanjang festival tersebut berlangsung.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini, Pas Lawatan Kerja Sementara telah tamat tempoh dan kesalahan utama majikan adalah kerana menggaji dan melindungi warga asing yang telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan dan Akta Imigresen,” katanya.

Tambahnya, sebanyak lapan borang Saman Saksi dikeluarkan kepada penganjur dan majikan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kesemua tahanan menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, dalam operasi itu, seramai 60 peniaga asing yang berniaga di tapak festival itu turut diperiksa.

“Serbuan di tapak festival itu dilakukan selepas menerima aduan berhubung kehadiran ramai warga asing di kawasan berkenaan.

“Operasi terbabit dijalankan dengan kekuatan seramai 19 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen terlibat dan operasi selama enam jam itu berakhir pada jam 11.30 malam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6510
Kongsi :
Previous post Bonus sebulan setengah gaji buat kakitangan SAMB
Next post ‘Muaythai pantai’ bertaraf dunia bakal gegar Melaka tahun depan
Ubah saiz-+=