Buat-buat hasilkan PPE, tapi sebenarnya….

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

RIM 19 Jan – Menggunakan alasan beroperasi bagi menghasilkan pakaian pelindung diri (PPE) sebaliknya mengambil kesempatan untuk menyiapkan pakaian wanita bagi mengaut keuntungan.

Itu taktik sebuah kilang menjahit pakaian yang beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Helah itu terbongkar menerusi operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP 2.0 dijalankan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bersama agensi berkaitan jam 10.30 pagi tadi.

Kilang pakaian yang masih beroperasi dalam Operasi Bersepadu Op Covid-19 PKP 2.0 bersama agensi penguatkuasa bagi Daerah Jasin di Taman Perindustrian Jasin. Foto: MR. Azli

Akibatnya, kilang berkenaan diarahkan tutup serta-merta sepanjang PKP serta dikompaun RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, premis berkenaan antara dua kilang yang dikenakan kompaun RM1,000 kerana mengingkari SOP PKP 2.0 yang dikuatkuasakan di negeri ini sejak 13 Januari lalu.

“Siasatan kita mendapati kilang berkenaan ada mengeluarkan PPE, namun pada masa sama turut menghasilkan pakaian bagi kegunaan harian.

“Jadi mereka cuba mengaburi mata pihak berkuasa kononnya hanya mengeluarkan PPE sedangkan pada masa sama ambil peluang untuk menjahit pakaian harian,” katanya ketika ditemui pemberita dalam serbuan berkenaan.

Kompaun dikeluarkan terhadap kilang pakaian yang masih beroperasi dalam Operasi Bersepadu Op Covid-19 PKP 2.0 bersama agensi penguatkuasa bagi Daerah Jasin di Taman Perindustrian Jasin. Foto: MR. Azli

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut mengeluarkan kompaun terhadap satu lagi syarikat kilang pakaian di Batu 16, Jalan Melaka atas kesalahan sama.

Katanya, antara alasan diberikan premis berkenaan adalah sudah memperolehi kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), namun pihaknya terikat dengan undang-undang Akta 342 ditetapkan.

“Sebelum ini, kita sudah berikan amaran kepada pemilik kilang itu ketika pemeriksaan polis dua hari lalu.

“Jadi ini kita tidak berkompromi dan terus mengeluarkan kompaun selain mengarahkan tutup serta-merta,” katanya.

Dalam pada itu, Mispani berkata sebuah lagi premis iaitu pasar raya di pekan Jasin turut dikenakan kompaun sama kerana membuka ruang di bahagian pakaian untuk jualan.

Jelasnya, pihaknya akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan.

Operasi pematuhan bersepadu itu turut dibantu Jabatan Kesihatan Daerah, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Views:

615
Kongsi :
Previous post APMM minta bantuan Indonesia bantu kesan dua nelayan
Next post MAIM sedia 10,000 kit Musa’adah, bantu rakyat terjejas COVID-19
Ubah saiz-+=