Sorting by

×

PROJEK KOMPUTER WAKAF BANTU MAHASISWA KURANG BERKEMAMPUAN

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KUALA LINGGI 10 Jun – Mahasiswa yang tidak mempunyai akses kepada komputer sendiri bakal mendapat manfaat menerusi Projek Komputer Wakaf, sekali gus menyokong keperluan pembelajaran dan penyelidikan di Universiti Islam Melaka (UNIMEL).

Timbalan Naib Canselor Pembangunan Institusi UNIMEL Prof. Ts. Dr. Rohayati Mohd Isa berkata, menerusi projek itu pihaknya menyasarkan pengumpulan lebih 100 unit komputer wakaf yang dilaksanakan menerusi platform ‘SINAR UNIMEL’.

Menurutnya, platform itu diwujudkan bagi menghimpunkan sumbangan menerusi instrumen wakaf, zakat dan infak (sumbangan) yang kemudiannya disalurkan kepada pelbagai keperluan pembangunan universiti serta kebajikan pelajar.

“Projek Komputer Wakaf ini memberi peluang kepada penyumbang di luar sana untuk berkongsi rezeki yang ada kepada pendidikan, khususnya kepada institusi pengajian tinggi seperti UNIMEL.

“Mereka boleh menyumbang dalam bentuk komputer secara fizikal ataupun sumbangan kewangan yang akan ditukarkan kepada peralatan komputer untuk kegunaan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Wacana Endowmen UNIMEL: Sinergi Memperkasa Pendidikan dan Kelestarian Ummah, Majlis Penyerahan Komputer Wakaf serta Minggu Mesra Siswa UNIMEL Sesi 1 2026/2027 yang dirasmikan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah di Auditorium Ibnu Khaldun UNIMEL, di sini, pada Isnin.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Kumpulan Gedung Penawar Dr. Mohd Padzil Mohd Daros; Ketua Pegawai Eksekutif Infotree Sdn Bhd Adlin Masood serta Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Hairulamin Mohd Sis.

Menurut Dr. Rohayati, projek berkenaan baru dilancarkan tahun ini dengan menerima sumbangan pertama sebanyak 10 unit komputer daripada Kumpulan Gedung Penawar dan Infotree Sdn. Bhd.

Katanya, keperluan terhadap komputer sentiasa meningkat selaras dengan perkembangan pendidikan digital dan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran serta pembelajaran.

“Universiti mempunyai bangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang menempatkan beberapa makmal komputer dan kita sedang berusaha menambah baik kemudahan sedia ada.

“Komputer diterima akan ditempatkan di makmal komputer dalam kampus selain dimanfaatkan oleh pelajar yang tidak mempunyai peralatan sendiri untuk menyiapkan tugasan dan menjalankan penyelidikan.

“Kita mempunyai sembilan kolej kediaman dan bercadang menyediakan kemudahan komputer di ruang tertentu pada setiap bangunan supaya pelajar boleh menggunakannya dengan lebih mudah tanpa perlu datang ke makmal utama.

Mengulas mengenai SINAR UNIMEL, Dr. Rohayati berkata ia merupakan platform diwujudkan bagi menjana sumber mampan untuk pembangunan pendidikan menerusi pengumpulan dana endowmen, wakaf dan sumbangan masyarakat.

“Paltform ini menjadi medium kepada individu, industri dan organisasi untuk bersama-sama menyumbang ke arah peningkatan kemudahan pembelajaran serta pembangunan modal insan di UNIMEL,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

557
Kongsi :
Previous post PENERBANGAN PEKANBARU-MELAKA RANCAKKAN SEKTOR PELANCONGAN KESIHATAN 
Next post MELAKA TERIMA KLINIK PERGIGIAN BERGERAK BERNILAI RM1.6 JUTA