Buka peluang graduan sertai industri perhotelan

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 23 Mei – Penganjuran seminar dan bengkel akan terus dilaksanakan bagi memberi pendedahan dalam industri perhotelan khususnya dalam kalangan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Chapter, Mohd Huzaidy Adnan berkata, ia dilaksanakan sekali gus sebagai persediaan industri perhotelan di Melaka menyahut aspirasi Kerajaan Negeri menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Katanya, selain memperkasakan promosi dan persediaan TMM2024 dalam kalangan penggiat industri, penganjuran bersifat serampang dua mata itu akan mendedahkan pelajar IPT tentang keperluan industri bagi mengatasi isu kekurangan pekerja dalam sektor perhotelan.

“Sebelum TMM2024 Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama penggiat perhotelan akan menganjurkan beberapa siri seminar dan bengkel bagi membincang dan membentuk rangkaian kumpulan hotel untuk menawarkan pakej-pakej menarik agar disatukan supaya menjanjikan tawaran menarik buat pengunjung.

“Kita mengutamakan dua prinsip dalam penganjuran seperti ini iaitu perlaksanaan dan pembinaan pakej selain membantu sektor pelancongan terutama perhotelan di Melaka mendapatkan pekerja yang berbakat.

“Kita yakin pihak universiti mahupun kolej yang mereka pelajari ini telah banyak memberikan pendedahan asas, jadi ia mungkin sedikit kerugian jika graduan ini pergi ke industri lain sedangan sektor pelancongan adalah antara penyumbang tertinggi dalam ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Peluang Kerjaya Dalam Sektor Perhotelan Bersama Institusi Pengajian Tinggi Di Melaka diadakan di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya pihak perhotelan akan membuka peluang kepada graduan IPT bagi menyertai industri terbabit agar pelapis penggiat perhotelan yang profesional mampu dilahirkan.

Berikutan itu katanya, beberapa siri seminar dan bengkel akan diadakan sebelum TMM2024.

“Ia agak kerugian kalau kita kehilangan mereka ini kerana bakat-bakat anak muda dalam kalangan graduan ini lebih menyerlah.

“Jadi kita akan anjurkan lagi perkara ini supaya ia menjadi medan bagi melahirkan persepsi pelajar dan penggiat industri disatukan kerana pada suatu hari nanti kita mahukan pengganti yang lebih profesional dalam bidang ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1457
Kongsi :
Previous post Tekanan lambakan hotel di Melaka hadapi kekurangan pekerja
Next post Kekurangan diri bukan penghalang terima sijil kemahiran
Ubah saiz-+=