Bukan rusuhan, tapi kandungan Tiktok diubah suai- Polis Perak

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

IPOH, 23 Nov – Tiada kes rusuhan dan perhimpunan haram dalam kalangan ahli sebuah parti politik di Lenggong dekat sini, Isnin lepas seperti disebarkan menerusi aplikasi TikTok, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Beliau sebaliknya berkata gambar yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun TikTok kononnya wujud situasi tidak aman di Lenggong, sebenarnya telah disunting dan kandungan di media sosial itu didapati telah direka cipta secara kreatif.

“Hasil semakan mendapati gambar yang dimuat naik itu diambil semasa penugasan kawalan keselamatan pihak polis pada hari penjumlahan undi, Sabtu lepas.

“Individu yang melakukannya sangat kreatif dengan mengambil gambar pada situasi yang berlainan, kemudian ‘disusun’ serta mereka cerita kandungan bahawa berlaku situasi tidak aman terutama di kawasan Lenggong. Seperti mana kita tahu, Lenggong adalah kawasan Menteri Besar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Menurutnya sepasukan anggota turut ditempatkan di sekitar kawasan Dewan Merdeka di Lenggong bagi menjalankan pemantauan namun tiada sebarang rusuhan seperti didakwa.

Kandungan itu mengambarkan kononnya berlaku keadaan tidak tenteram selepas Datuk Seri Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak, apabila gabungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dapat membentuk kerajaan negeri.

Beliau berkata pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Perak melakukan siasatan secara terperinci terhadap pemilik akaun Tik Tok yang menyebarkan video berkenaan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6231
Kongsi :
Previous post Polis tahan lelaki disyaki papar ketidakpuasan hati terhadap Agong
Next post MT UMNO putuskan sokong Kerajaan Perpaduan bukan diterajui PN
Ubah saiz-+=