Bumbung balai nelayan diterbangkan ribut

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

PANTAI KUNDOR 23 Julai – Sebahagian bumbung Balai Nelayan Kampung Pantai Rombang di Pantai Puteri di sini, diterbangkan ribut kira-kira jam 3 pagi tadi.

Ketua Jaringan Nelayan Pantai Puteri, Azmi Leman, 53, berkata keseluruhan balai itu  menempatkan 33 petak meletakkan perahu nelayan dan yang rosak adalah bumbung melindungi lapan perahu gentian kaca.

“Balai ini dibina melalui peruntukan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan kerajaan negeri kira-kira tujuh tahun lalu dan semakin mereput akibat terkena air masin.

“Kejadian itu menyebabkan perahu dan peralatan menangkap ikan seperti jaring dan rawai terdedah kepada panas dan hujan, sekali gus merugikan nelayan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Nelayan, Mohd Said Baba, 53, mengangkat zink bumbung Balai Nelayan Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling yang diterbangkan ribut awal pagi tadi.

Nelayan, Mohd Arif Bugal, 60, berkata dia yang tinggal tidak jauh dari lokasi kejadian segera turun ke pantai apabila ribut mula melanda pada jam 2.30 pagi.

“Saya tidak sedap hati apabila terjaga daripada tidur selepas terdengar angin kencang memukul rumah dan pokok di sekeliling rumah.

“Kira-kira jam 3 pagi saya terlihat keseluruhan bumbung yang melindungi lapan petak tempat meletakkan perahu melayang diterbangkan angin kencang,” katanya.

AZMI menunjukkan kayu galang bumbung Balai Nelayan Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling yang sudah reput.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, beliau sudah memohon peruntukan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi membina balai baharu pada Julai tahun lalu.

“LKIM negeri memohon peruntukan RM200,000 daripada ibu pejabat LKIM di Pulau Meranti, Puchong Selangor untuk membina balai baharu tetapi setakat ini masih belum menerimanya.

“Saya juga mengemukakan permohonan kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah pada Disember tahun lalu tetapi masih belum ada peruntukan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta LKIM atau Ahmad supaya meneliti permohonan berkenaan dan menyediakan peruntukan bagi tujuan itu.

Katanya, kerja pembaikan bumbung yang rosak teruk disifatkan tidak berbaloi kerana struktur sebahagian besar daripada keseluruhan balai berkenaan sudah reput.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

709
Kongsi :
Previous post 538 kenderaan diarah patah balik, 704 bangunan diperiksa sempena Aidiladha
Next post Rakyat kini dibenar rakam video terima vaksin – KJ
Ubah saiz-+=