‘Bunuh’ orang tengah mampu kawal kenaikan sayur, baja

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 16 Mei – Peranan orang tengah sebagai perantara antara pekebun dan peniaga perlu dihapuskan bagi mengawal kenaikan harga barangan terutama sayur pada masa akan datang.

Usahawan tani, Ahmad Fairus Muhamad, 40, berkata, ramai yang menyalahkan petani setiap kali berlaku kenaikan harga tanpa melihat peranan dimainkan oleh orang tengah.

Katanya, permasalahan itu sudah lama berlarutan dan kerajaan perlu memberikan perhatian serius jika benar-benar mahu membantu pengguna.

“Orang tengah banyak memainkan peranan dalam menentukan harga sayur-sayuran di pasaran, tapi yang pelik petani pula dipersalahkan.

“Sekarang ini kami bergelut dengan kenaikan mendadak harga racun dan baja, tapi nampaknya permasalah pekebun ini dipandang lesu, tiada siapa peduli.

“Sebagai pekebun saya mahu kerajaan ambil peduli perkara ini dan penyelesaiannya adalah perlu menubuhkan sebuah pusat pengumpulan barangan pertanian di setiap daerah agar pengguna boleh mendapatkan hasil pertanian secara terus dari ladang,” katanya.

Ahmad Fairus berkata, jika perkara itu dilaksanakan ia akan ‘membunuh’ orang tengah, pekebun memperoleh untung setimpal dan pengguna mendapat harga lebih murah.

“Kita petani kini berdepan masalah dengan pengeluar baja dan racun, malah mereka pula akan menjual kepada pekebun dengan syarat perlu ada kuantiti pesanan minimum (MOQ). Setiap pengeluar mesti akan beri MOQ paling minimum sebanyak tiga tan racun dan baja perlu dibeli oleh petani dengan nilai yang tinggi.

“Sehingga kini baja naik sampai 40 peratus, seperti baja fertigasi dahulu RM120 untuk seguni 25 kilogram kini boleh naik sampai RM200

“Jadi kalau petani yang menjalankan pertanian berskala kecil bagaimana pula mereka nak tampung perbelanjaan ini, ” katanya.

Peningkatan mendadak baja dan racun menyebabkan beliau menghentikan sementara penamanan sayur berdaun menggunakan kaedah fertigasi meja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1131
Kongsi :
Previous post Lebih 500 tan sampah domestik dikutip sehari pada minggu kedua Aidilfitri
Next post Malaysia nikmati kadar tarif elektrik antara terendah di ASEAN
Ubah saiz-+=