Busana Jalur Gemilang curi tumpuan di PPV UiTM Lendu

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

LENDU 31 Julai – Telatah seorang pesara tentera memakai busana Jalur Gemilang lengkap bertanjak untuk menerima suntikan kedua vaksin mencuri perhatian ramai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi MARA (UITM) Lendu, pagi tadi.

Busana dikenakan Md Rahim Maskop, 52, sambil mengibarkan jalur gemilang turut mendapat sorakan ramai sekali gus menandakan bahang semangat Hari Kebangaaan yang disambut negara 31 Ogos semakin tiba.

Md Rahim yang menetap di Kampung Ganun, Gadek berkata, dia bertekad untuk mengenakan busana itu bagi menandakan semangat cintakan negara biarpun dalam perintah tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

MD Rahim mengenakan busana Jalur Gemilang ketika hadir menerima suntikan kedua vaksin COVID-19 di PPV UiTM Lendu, pagi tadi.

“Setiap kali menyambut Bulan Kemerdekaan, ini adalah antara ‘pengorbanan’ yang dibuat bagi menunjukkan semangat patriotik agar ia tidak terus hilang setelah merdeka

“Pelbagai cara telah saya lakukan sebelum ini bagi melahirkan rasa cintakan negara seperti berbasikal dengan memakai busana merdeka.

“Malah rumah juga akan dihiasi dengan Jalur Gemilang bagi menyambut hari keramat itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melengkapkan dos kedua suntikan vaksin di PPV terbabit.

MD Rahim disambut petugas sebelum memasuki perkarangan dewan terbabit bagi menerima suntikan vaksin COVID-19

Menurutnya, antara yang pernah dilakukan sebelum ini adalah berbasikal serta menyertai pelbagai pertandingan berkaitan Hari Kebangsaan namun usaha itu tidak dapat dilakukan ketika dalam tempoh PPN ketika ini.

Md Rahim berkata, sebaik dia tiba di PPV terbabit pada pukul 9.30 pagi tadi, ramai penerima vaksin dan pertugas barisan hadapan bersorak malah ada yang tidak melepaskan peluang bergambar dengannya.

“Inilah satu kenangan buat saya seumur hidup bagi menyatakan semangat ini biarpun ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

“Bagi saya, di mana dan apapun halangan yang ada, sambutan kemerdekaan masih boleh diraikan dengan cara tersendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1051
Kongsi :
Previous post Bekas petinju negara terlantar sakit
Next post Kerajaan teliti keperluan buka tanah perkuburan Islam pesakit COVID
Ubah saiz-+=