Cadang guna selebriti promosi Zoo Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 21 Jan. – Zoo Melaka dicadang menggunakan khidmat artis untuk mempromosikan lagi keunikannya berbanding kaedah pemasaran konvensional yang dilaksanakan ketika ini.

Mantan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Tan Sri Norliza Rofli berkata, beliau secara peribadi amat yakin, produk pelancongan itu mampu melonjakkan Melaka sekiranya cadangan itu mampu dilaksanakan.

“Pemasaran konvensional sahaja tidak mencukupi sebaliknya pendekatan ‘human interest’ dan warisan kehidupan dalam bahaya perlu digunakan untuk meningkatkan minat masyarakat untuk melawat Zoo Melaka.

“Rakyat Malaysia suka mendengar pujian daripada bangsa asing. Justeru, penggunaan selebriti yang dikaitkan dengan hidupan liar, untuk bercerita mengenai Zoo Melaka perlu difikirkan sebagai strategi berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya yang dikongsikan bersama Melaka Hari Ini, susulan lawatannya ke Zoo Melaka pada 9 Januari lalu.

Mengulas lanjut Norliza berkata, cadangannya itu juga mungkin melibatkan kos yang agak tinggi namun beliu yakin kos tersebut berbaloi jika mesej yang disampaikan itu kuat dan dapat menyentuh hati pengunjung.

“Semasa berkhidmat dengan kerajaan, saya telah berpeluang melawati banyak negara dan Melaka sama hebat dengan bandar-bandar bersejarah lain di dunia.

“Benar, kemudahan yang ada di Zoo Melaka mungkin tidak sehebat San Diego Zoo dan London Zoo namun dari aspek lain, semua zoo itu termasuk Zoo Singapura, yang berbajet besar, tidak diiringi dengan bumi bertuah penuh sejarah.

“Jadi satu badan pemikir yang bebas dari politik dan ‘passionate’ mengenai zoo dan Melaka sebagai satu produk komprehensif berwawasan luas perlu ditubuhkan bagi merencana pelan jangan pendek dan panjang untuk Zoo Melaka,” katanya.

Views:

705
Kongsi :
Previous post Lebih 100 petani rugi, 79 hektar sawah di Bagan Serai, Perak diserang Bena Perang
Next post Waspada penipuan melalui akaun WhatsApp
Ubah saiz-+=