Lebih 100 petani rugi, 79 hektar sawah di Bagan Serai, Perak diserang Bena Perang

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BAGAN SERAI, 21 Jan. – Seramai 112 petani di tiga kampung di sini mengalami kerugian keseluruhan sehingga RM24,000, apabila tanaman padi mereka diserang penyakit bena perang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Razman Zakaria berkata, serangan itu melibatkan kawasan seluas 79 hektar sawah di Kampung Parit Haji Ali, Parit Mentara dan Alor Pongsu di kompatment F.

Katanya penyakit bena perang dibawa melalui angin dan serangan itu menyebabkan padi hangus, bertompok merah, serta tidak berisi.

“Selain bena perang, sawah terbabit juga diserang dengan penyakit lain seperti reput perang seludang, hawar seludang, pianggang dan ulat pengorek barang dan reput batang,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan program turun padang di Surau al-Firdaus di Parit Haji Ali di sini, hari ini.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, pemantauan awal dapat mengelak sawah terus mengalami kerosakan dengan serangan bena perang, yang bergerak mengikut angin.

Katanya Jabatan Pertanian memperuntukan RM40,000 bantuan racun, bagi membantu petani membuat pengawalan sawah mereka daripada serangan bena perang, dengan menggunakan kaedah pendebuan dan asap.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Perak Norsiyenti Othman berkata, mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) pengawalan sekitar 50 meter kawasan yang diserang bena perang, perlu disembur dengan racun dan dilakukan pemantuan dengan lebih kerap.

“Lebih 10 ekor populasi bena perang boleh merosakkan sawah dalam masa satu atau dua hari. Bena perang hidup dan bertelur di batang padi,” kata sambil menambah pihanya akan memasang perangkap berbentuk jaring dan lampu, bagi mengesan kehadiran awal serangga bena perang.

Views:

1760
Kongsi :
Previous post ‘The Bos Gaurus’ hilang teraju
Next post Cadang guna selebriti promosi Zoo Melaka
Ubah saiz-+=