Cadang jenazah COVID-19 bukan Islam diurus secara kaedah pembakaran

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

ASAHAN 4 Ogos – Kerajaan negeri mencadangkan kaedah pembakaran bagi menguruskan jenazah pesakit COVID-19 bukan Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, langkah itu dikemukakan berikutan peningkatan kadar mayat pesakit di bilik mayat Hospital Melaka.

Jelasnya, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti dua lokasi rumah pembakaran mayat iaitu di Jasin dan di Sungai Putat bagi tujuan itu.

“Buat masa ini bilik mayat di Hospital Melaka telah pun dipenuhi dengan jenazah pesakit COVID-19 termasuk yang beragama Islam dan bukan Islam.

“Bagi mengurangkan kadar tersebut proses pembakaran boleh dilakukan tanpa mengira waktu berbanding sebelum ini terhad sehingga jam 5.30 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau program Jom Vaksin Bersama Wanita UMNO Bahagian Alor Gajah bersama Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan Kementerian Kesihatan (KKM) di Japerun DUN Asahan, di sini tengahari tadi.

Mengulas lanjut Abdul Ghafaar berkata, bagi jenazah beragama Islam kerajaan negeri akan menjadikan Tanah Perkuburan Bidadari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Ayer Keroh sebagai tanah perkuburan berpusat untuk pesakit COVID-19 di negeri ini.

“Ia sekali gus membantu pengurusan jenazah yang lebih efisien dan mampu mengurangkan jumlah tenaga kerja yang digunakan untuk menghantar jenazah ke lokasi itu.

“Pendekatan ini diambil agar pengurusan pengebumian lebih sistematik dengan menempatkan kakitangan bertugas di tanah perkuburan secara tetap bagi bersedia menerima kemasukan jenazah.

“Bagaimanapun, penempatan jenazah ini pula bergantung kepada keputusan waris keluarga sekiranya mereka bersetuju kita akan menempatkan jenazah itu di kawasan terbabit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

526
Kongsi :
Previous post Azizulhasni, Shah Firdaus layak ke pusingan pertama 1/32
Next post Nenek 90 tahun maut dalam kebakaran, dua lagi mangsa terselamat
Ubah saiz-+=