CADANG KOTA LAKSAMANA JADI BANDAR BAHARU MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KOTA LAKSAMANA 21 September – Kota Laksamana dicadang menjadi bandar baharu bagi Negeri Melaka pada masa akan datang.

Perkara itu disyorkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana Low Chee Leong susulan ucapan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang menyebut kawasan tersebut bakal menjadi pusat ekonomi baharu Melaka.

Chee Leong berkata, selaku wakil rakyat kawasan, beliau amat menyambut baik pengumuman itu memandangkan Kota Laksamana memiliki prospek yang amat besar dalam sudut pembangunan, sosioekonomi, pelancongan dan kebudayaan.

“Walaupun sebahagian kawasan di Kota Laksamana adalah tambakan laut, namun ia mempunyai prospek yang amat besar kerana terletak di tengah-tengah Selat Melaka.

“Saya percaya pembangunan ini bukan hanya perancangan untuk lima atau 10 tahun, tetapi ia merupakan satu pembangunan masa hadapan yang akan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Justeru, saya mencadangkan agar suatu hari nanti Kota Laksamana ini dapat diangkat menjadi ‘ibu negeri’ baharu untuk Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri melancarkan sebuah kondominium baharu di Kota Syahbandar, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Chee Leong yang juga Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berharap agar pembangunan yang dirancang di kawasan itu dapat menepati perancangan ke arah bandar mampan.

Menurutnya, antara yang perlu diberi perhatian adalah aspek prasarana seperti perparitan, lalu lintas, selain pembangunan infrastruktur lengkap yang menepati aspek perancangan bandar.

“Saya juga berharap semua agensi termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat bekerjasama secara rapat bagi membolehkan pembangunan yang komprehensif di kawasan ini dapat dicapai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5566
Kongsi :
Previous post BISTARI BERSAMA BANGUNKAN UMAT ISLAM DI MELAKA
Next post MELAKA PANTAU GERAK-GERI GISBH
Ubah saiz-+=