Capaian terhadap pornografi kanak-kanak meningkat dalam tempoh PKP

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR 20 Mei. – Perlakuan jenayah melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, antaranya capaian terhadap pornografi membabitkan golongan itu, dilaporkan meningkat dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed, yang akan bersara hari ini, berkata sejumlah 45 kes dilaporkan semasa PKP (18 Mac 2020 hingga 29 April 2021) menyaksikan peningkatan sebanyak 27 kes berbanding 18 sebelum pelaksanaan PKP (18 Februari 2019 hingga 17 Mac 2020).

Beliau berkata ia juga membabitkan amang seksual bukan fizikal iaitu menggunakan perkataan atau menunjukkan perlakuan seksual lucah sama ada dalam bentuk audio dan visual kepada kanak-kanak, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 24 kes berbanding 53 sebelum PKP.

“Penggunaan media sosial yang meluas dipercayai menjadi faktor penyumbang kepada kes-kes ini memandangkan mereka sering meluangkan masa bermain gajet atau teknologi lain kerana tidak mempunyai pekerjaan akibat diberhentikan selain dikenakan tindakan PKP di kawasan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Berdasarkan trend itu, Huzir tidak menolak kemungkinan jenayah terhadap wanita, kanak-kanak dan jenayah seksual di negara ini boleh meningkat jika tidak dikawal sebaiknya semasa pandemik wabak COVID-19 ini.

Bagaimanapun, beliau berkata ketika ini trend jenayah itu bagi tempoh sebelum pelaksanaan PKP iaitu 18 Februari 2019 hingga 17 Mac 2020 dan semasa PKP iaitu 18 Mac 2020 hingga 29 April 2021 menunjukkan penurunan sebanyak lima peratus atau 693 kes.

Katanya sejumlah 12,330 kes jenayah terhadap wanita, kanak-kanak dan jenayah seksual dilaporkan dalam tempoh pelaksanaan PKP berbanding 13,023 kes sebelum pelaksanaan PKP.

Selain itu, Huzir berkata statistik kes keganasan rumah tangga menunjukkan peningkatan sebanyak sembilan peratus atau 606 kes berbanding sebelum PKP iaitu 6,003 kes.

“Punca utama yang menyumbang kepada peningkatan kes keganasan rumah tangga ialah pergaduhan (suami isteri) akibat masalah kewangan, masalah penyalahgunaan dadah dan tekanan perasaan (dipercayai kerana hilang sumber pendapatan),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

293
Kongsi :
Previous post ‘Abah’ Muhyiddin kekal pemimpin politik tanah air paling popular
Next post MSIA tidak memihak kepada cadangan sekatan pergerakan penuh ekonomi, negara
Ubah saiz-+=