Cari jalan atasi beban dan kemiskinan rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

REMBIA 28 Mac – Kerajaan Negeri memberi keyakinan akan mencari jalan terbaik bagi memastikan bebanan kemiskinan rakyat di negeri ini dapat diatasi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, hasrat itu selari dengan slogan Kerajaan Negeri yang akan sentiasa cakna dan prihatin terhadap nasib yang dialami rakyat di negeri ini.

“Dunia ini tidak lari daripada pelbagai ujian. Saya akui, ada di antara kita diuji dengan pelbagai cabaran seperti kesusahan, kemiskinan, kekurangan, kesakitan dan penderitaan, manakala ada juga antara kita yang diuji dengan kesenangan.

“Namun, semuanya dicipta oleh Allah untuk kita saling melengkapi, yang hidup senang perlulah membantu mereka yang dalam kesusahan.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa mencari jalan yang terbaik bagi mengurangkan bebanan kehidupan dan kemiskinan penduduk di negeri ini demi kesejahteraan dan kemakmuran Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan Parlimen Alor Gajah 2023 diadakan di Kompleks Japerun Rembia di sini hari ini.

35CB3228-558F-45E2-B8D7-30B461AC48D8
SULAIMAN mengagihkan bantuan sumbangan selepas merasmikan program tersebut

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis, Adun Machap Jaya, Ngwe Hee Sem, Adun Gadek VP Shanmugam serta tetamu lain.

Pada masa sama, Sulaiman berkata, program sumbangan diadakan sebagai acara tahunan di negeri ini akan diperluaskan di setiap Parlimen di Melaka bagi membantu mangsa memerlukan sepanjang Ramadan.

Jelasnya, seramai 150 golongan memerlukan telah menerima sumbangan bantuan wang tunai, kuih raya dan kit makanan disampaikan dalam program diadakan pada petang tadi.

“Sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat, pada hari ini kita menyerahkan sumbangan kit kuih raya dan kit makanan.

“Semoga dengan bantuan yang diberikan dapat meringankan sedikit bebanan yang dihadapi, sekali gus mengukir senyuman kebahagiaan pada wajah saudara dan saudari yang hadir pada hari ini.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, barisan EXCO Kerajaan Negeri, agensi penyumbang bantuan dan seterusnya para hadirin dan hadirat yang sudi hadir pada majlis hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1344
Kongsi :
Previous post Ketupat bersama serunding kelapa, sambal bilis laris 20 tahun
Next post Maafkan saya, apa jua keputusan itu tanggungjawab saya – KM
Ubah saiz-+=