Cari pendekatan terbaik pelaksanaan GEG Bills

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KOTA LAKSAMANA 6 Jun – Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) dan 44 persatuan gabungan meminta kerajaan mencari pendekatan terbaik membabitkan isu Rang Undang-undang (RUU) Generasi Penamat (GEG Bills).

Presidennya, Wong Teu Hoon berharap kerajaan mengkaji semula undang-undang larangan merokok dikenakan kepada golongan yang lahir selepas tahun 2007.

Dakwanya, RUU itu tidak akan mendatangkan penyelesaian dalam mengawal isu penggunaan produk tembakau di negara malah dikhuatiri memburukkan lagi masalah perdagangan rokok seludup.

Teu Hoon berkata, pendidikan adalah kunci utama untuk mengurangkan kelaziman merokok, kerajaan juga harus tegas, mengambil langkah kawalan dengan memperluaskan kawasan larangan merokok dan meningkatkan penguatkuasaan terhadap individu bawah umur.

“Larangan merokok untuk generasi baru tidak akan menyelesaikan masalah ini kerana pendekatan yang lebih seimbang diperlukan untuk mengelak sebarang masalah dikemudian hari.

“Kami ingin menyuarakan kebimbangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua Ahli Parlimen bahawa rang undang-undang itu tidak boleh dibentangkan secara terburu-buru kerana masih banyak perkara yang perlu diteliti semula.

“Dikhuatiri akan ada lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan dan seterusnya menggagalkan objektif untuk mengurangkan jumlah perokok,” katanya pada sidang media di sebuah restoran di Kota Laksamana, di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat persatuan itu, Datuk Tan Chnan Yeang berkata, satu memorandum telah dihantar kepada 220 Ahli Parlimen, semalam bagi menyuarakan hasrat agar perkara itu dikaji semula.

Menurutnya, menguatkuasakan larangan merokok bagi mereka yang lahir selepas 2007 akan memaksa perokok untuk membeli produk tembakau daripada saluran yang tidak sah.

“Jika larangan ini dikuatkuasakan, sudah pasti akan mendorong perokok untuk memilih rokok seludup. Hal ini juga akan merugikan 25,000 peniaga kedai kopi dan mungkin 6,000 atau 30 peratus akan berdepan gulung tikar.

“Kita harap kerajaan kaji semula perlaksanaan ini malah jika RUU ini dimuktamadkan kerajaan perlu ada pendekatan sesuai untuk membenarkan peniaga memeriksa kad pengenalan seseorang bagi memastikan mereka bukan lahir pada tahun 2007 kerana setakat ini peniaga tidak mempunyai hak atau kuasa untuk memeriksa maklumat sulit berkaitan itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1253
Kongsi :
Previous post Lori terbakar, mujur selamat
Next post Mayat dipercayai kanak-kanak hilang di Sungai Bernam ditemukan
Ubah saiz-+=