Cederakan anggota polis guna batang penyapu, wanita didenda RM3,000

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 13 Mei – Seorang wanita didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencederakan anggota polis menggunakan batang penyapu.

Tertuduh Hasrina Osman, 42, turut berdepan enam bulan penjara sekiranya dia gagal membayar denda dikenakan.

Majistret Mazana Sinin, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Hasrina dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Koperal Muhammad Taufik Sayutin semasa dia melaksanakan tugasnya sebagai penjawat awam.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya, di sini, kira-kira jam 10.45 malam pada 7 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikenalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon kepada mahkamah agar hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBG) merayu kepada mahkamah supaya hukuman ringan dikenakan dengan alasan tertuduh sudah menyesali atas perbuatannya itu selain wanita berkenaan tidak bekerja.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian tertuduh bertindak memecahkan barang dan mengamuk selain meminta abangnya menghantar dia ke rumah ibu mereka di Paya Jaras, Selangor.

Susulan, tidak dapat mengawal keadaan, pengadu yang juga abangnya kemudian menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan sebelum dua anggota polis dari Balai Polis Banda Hilir tiba dilokasi kejadian.

Tertuduh kemudian bertindak agresif dengan mencederakan seorang daripada anggota polis dengan menggunakan batang penyapu.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda dikenakan.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1807
Kongsi :
Previous post Lima termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan babit tiga kenderaan
Next post Kes tembak di Bukit Bintang: Tiga rakan didakwa membunuh
Ubah saiz-+=