Cegah jenayah menerusi lawatan ke Muzium Penjara

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDA HILIR 20 Oktober – Penganjuran program di Muzium Penjara melalui lawatan secara berpandu dilihat dapat mencegah kadar jenayah khususnya dalam kalangan remaja.

Pengarah Bahagian Dasar Kepenjaraan, Jabatan Penjara Malaysia Supri Hashim berkata, melalui program yang dilaksanakan mereka yang hadir ke Muzium Penjara bukan sahaja dapat merasai suasana malah perkongsian kehidupan daripada bekas banduan secara tidak langsung dapat menyampaikan mesej kepada pelawat.

Beliau berkata, kehadiran pelawat ke Muzium Penjara amat menggalakkan malah pengunjung teramai adalah dalam kalangan murid sekolah dan disebabkan itu Jabatan Penjara mendedahkan mereka dengan lawatan secara berpandu.

“Bagi merasai pengalaman di penjara, pengunjung boleh datang melawat ke muzium, di sini, akan dapat merasai suasana sebenar malah kita dedahkan mereka dengan lawatan berpandu yang kadang kala akan membabitkan bekas banduan. Bekas banduan ini akan menceritakan erti tingginya sebuah kebebasan dengan tidak melakukan kesalahan.

“Sasaran kita biarlah anak-anak atau warga Malaysia berada di luar, kita tutup pintu penjara dan kurangkan kemasukan ke penjara. Kita buat tugas-tugas pembangunan yang lain diluar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pameran Menjangkau Abad Dinding Penjara, di Muzium Penjara Banda Hilir, yang dirasmikan oleh Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin, hari ini.

photo_2022-10-20_13-08-22
Pengarah Bahagian Dasar Kepenjaraan, Jabatan Penjara Malaysia Supri Hashim berucap pada sidang media pada Majlis Perasmian Pameran Menjangkau Abad Dinding Penjara di Muzium Penjara Banda Hilir, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut beliau, meskipun lebih 12, 000 daripada hampir 76,000 penghuni penjara pada masa kini adalah warga asing namun sasaran pihak Penjara Malaysia adalah untuk bersama-sama dengan agensi kerajaan lain mencegah pelakuan jenayah dalam mengurangkan kadar kemasukan ke penjara.

“Kita ada hampir 12, 000 warga asing di penjara yang mana kira-kira 7,000 disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan bakinya kesalahan jenayah lain.

“Selain itu lebih 7,000 penghuni penjara kini sedang menjalani pemulihan di luar penjara melalui sistem parol termasuk pelepasan secara lesen dan juga program reintegrasi.

“Sebanyak 15 peratus direkodkan membabitkan penghuni yang sudah dibebaskan tetapi masuk kembali menjalani pemulihan. Tugas kita memang untuk pulihkan semula banduan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3914
Kongsi :
Previous post Remaja perempuan baling pisau pada adik sehingga maut, direman 6 hari
Next post PRU15: Pengundian pada 19 Nov, penamaan calon 5 Nov
Ubah saiz-+=