Cikgu Mekdi terus terima pujian warganet

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BUKIT PIATU 5 Mac. – “Saya membelinya (set makanan McDonald’s) sekadar untuk menaikkan semangat mereka (pelajar) saja, maklumlah mereka terpaksa menunggu beberapa minggu lagi bagi menduduki kertas seterusnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata Pengetua Sekolah Menengah Teknik Melaka, Jaliah Abu.

Katanya, dia tidak menyangka tindakannya membelanja set makanan McDonald’s buat 253 pelajar yang masih menduduki SPM di sekolahnya, tular di media sosial hingga membangkitkan pujian dari warganet.

Menurutnya, tindakan itu hanya sekadar menyantuni anak murid sekolahnya yang berhempas pulas mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan SPM.

“Minggu lalu (Jumaat), ada seorang pelajar berseloroh kepada saya untuk membelanjakan mereka McDonald’s. Jadi atas inisiatif sendiri dengan kerjasama ibu bapa, kami cuba laksanakannya demi menaikkan semangat mereka yang tinggal di asrama.

“Ramai calon lain sudah menamatkan peperiksaan ini, namun hanya sebahagian pelajar terpaksa menunggu beberapa minggu lagi untuk menjawab beberapa kertas lain seperti kejuruteraan dan teknikal,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Jaliah, pihaknya memesan makanan di beberapa restoran McDonald’s dan mengagihkannya kepada pelajar terbabit, namun tidak menyangka perkara itu telah ditularkan pelajar sekolahnya sendiri di Twitter.

“Saya perasan pun setelah diberitahu rakan sekerja mengenai perkara itu sedangkan saya tidak mempunyai niat apa pun selain hanya sekadar bersedekah kepada pelajar saya.

“Semoga dengan bantuan kecil ini mampu memberi suntikan kepada calon-calon SPM agar memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan kali ini,” katanya.

Terdahulu, usaha Jaliah terus menerus menerima pujian warganet melalui pelbagai platform media sosial setelah menerima lebih 4,000 ciapan semula (retweet) pengguna Twitter menerusi satu ciapan daripada anak muridnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

318
Kongsi :
Previous post KKM temui dua kes pertama jangkitan COVID-19 varian Nigeria B1.525
Next post PMB Tijari sasar salur pembiayaan RM150 juta untuk 150 usahawan tahun ini
Ubah saiz-+=