Cipta kelainan berbuka puasa di atas Kapal Mendam Berahi

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

BANDAR HILIR 2 April – Bagi mereka yang ingin kelainan dengan suasana berbuka puasa yang damai dan tenang sambil menyusuri keindahan Sungai Melaka pastinya Iftar@Kapal Mendam Berahi 2022 menjadi pilihan terbaik.

Bukan sahaja dapat merasai suasana nyaman dan romantik malah pelanggan juga dihidangkan dengan hidangan enak dari tiga premis makanan tersohor di Kampung Hulu yang sering menjadi tumpuan khususnya pelancong.

Hidangan utamanya nasi lemak, ikan siakap bakar sambal, ikan siakap tiga rasa, udang butter, sotong goreng tepung, telur dadar dan kailan ikan masin serta bersama kuih muih tradisional selain turut dihidangkan jus buah-buahan, ‘khatira shaved ice’, pasti menambat hati dan meninggalkan kenangan buat mereka yang mencubanya sambil menyusuri sungai selama kira-kira satu jam.

Menurut pemilik Arang Cafe Kampung Hulu Hailhesfa Mohd Merry berkata, konsep yang diketengahkan itu berlainan kerana kebiasaan umat islam akan berbuka puasa di hotel mahupun restoran di darat tetapi kali ini mereka boleh cuba untuk merasai berbuka puasa di atas Kapal Mendam Berahi sambil menikmati hidangan dari premis miliknya, Doplohtiga serta Cendol Kampung Hulu.

Katanya, dengan harga RM640 bagi setiap meja untuk lima orang, pelanggan akan dihidangkan dengan menu utama namun mereka juga boleh menempah menu tambahan lain seperti burger, chicken chop, cendol menerusi Kod QR ataupun link ckhmelaka.orderla.my/iftar.

“Mereka yang berminat boleh membuat tempahan awal, sehari atau dua hari sebelum memandangkan tempat adalah terhad kerana setiap hari hanya terbuka kepada 30 orang sahaja selain Kapal Mendam Berahi ini akan bergerak pada jam 6.30 petang menyusuri hingga ke Muara Sungai Melaka.

“Selain dapat merasai suasana makan dengan menyusuri Sungai Melaka, pelanggan juga akan dihiburkan dengan persembahan ‘live band’ di atas kapal sebelum balik semula ke darat kira-kira jam 7.45 malam untuk solat Maghrib di Masjid Kampung Hulu,” katanya.

Menurutnya, kelainan yang ditampilkan ini juga adalah hasil kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dalam mengetengahkan produk pelancongan negeri iaitu Kapal Mendam Berahi.

“Mereka yang berminat atau mempunyai pertanyaan juga boleh berhubung terus dengan pihak kami dengan menghubungi talian 017 5908277 (Alip), 012 3961179 (Dima) dan 010 3647213 (Wan).

“Malah pembayaran deposit juga boleh dibuat 50 peratus bagi setiap tempahan dan ianya peluang yang pasti dirasai kerana ia sesuatu yang ekslusif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1606
Kongsi :
Previous post Jimat banyak beli persiapan ‘mantai’ Ramadan
Next post Tiada insentif pengeluaran getah bagi Mac 2022
Ubah saiz-+=