COVID: 126 kematian dicatatkan, tertinggi setakat ini

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

KUALA LUMPUR 2 Jun – Sebanyak 126 kematian dilaporkan hari ini, angka tertinggi dicatatkan sejak pandemik ini melanda negara sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 sebanyak 2,993 orang, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi kenyataan mengenai perkembangan COVID-19, beliau memaklumkan kematian itu melibatkan 29 orang di Selangor, Kuala Lumpur (18), Negeri Sembilan (14), Kelantan (12), Johor (11), Kedah pula 10 orang.

Seterusnya,Labuan mencatatkan lapan kematian, masing-masing lima kematian di Melaka dan Terengganu,Sarawak (empat), Pahang (tiga), masing-masing dua di Sabah, Putrajaya dan Perak serta seorang di Pulau Pinang.

KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Jumlah individu yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setakat ini sebanyak 878 orang dengan 441 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jumlah kes sembuh dalam tempoh 24 jam lepas adalah 5,777, menjadikan jumlah kumulatif 501,898 kes manakala kes aktif kini sebanyak 82,274 kes,” katanya.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Malaysia mencatatkan kes baharu COVID-19 sebanyak 7,703 kes berbanding 7,105 kes semalam, dengan Selangor kekal merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 2,728.

Beliau berkata terdapat 22 kluster baharu dikesan hari ini melibatkan 11 kluster tempat kerja, tujuh kluster komuniti, dua kluster pendidikan tinggi, satu kluster pusat tahanan dan satu kluster keagamaan, menjadikan jumlah kluster aktif kini 674 kluster.

Dr Noor Hisham berkata, kluster tempat kerja itu melibatkan Kluster Jalan Waja Lima Belas di Selangor; Jalan Balam (Kuala Lumpur), Jalan Jee Cattleya dan Jalan Pinang Riam (Sarawak), Jalan SILC Satu, Teknologi Enam serta Jalan Bioteknologi Satu di Johor.

Kluster tempat kerja juga membabitkan Kluster Pantai Kemayang di Kelantan, Industri Jemapoh (Negeri Sembilan), Jalan Tambun (Perak) dan Industri Bukit Panchor di Pulau Pinang.

Tujuh kluster komuniti pula adalah Kluster Nanga Meruan dan Sungai Penyarai di Sarawak; Jalan Parit Raja Tengah (Johor), Kelisa Emas (Pulau Pinang), Taman Fasa 2A (Perak dan Kuala Lumpur), Dah Kampung Lancuk (Kedah) serta Kampung Alai di Perak.

Bagi kluster pendidikan tinggi ia melibatkan Jalan Beringin, Selangor dan Jalan Yaacob Latif 2, Kuala Lumpur, kluster pusat tahanan adalah Kluster DTI Kemayan, Pahang manakala kluster keagamaan pula membabitkan Jalan Mutiara Galla di Negeri Sembilan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

332
Kongsi :
Previous post Melaka kerajaan negeri pertama miliki makmal saringan COVID-19 sendiri
Next post Ibu bapa perlu elak bawa bayi, anak di bawah lima tahun ke tempat sesak termasuk pasar raya
Ubah saiz-+=