Melaka kerajaan negeri pertama miliki makmal saringan COVID-19 sendiri

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 2 Jun – Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) kini dilengkapi Makmal Diagnostik COVID-19 sekali gus mencipta sejarah apabila diberi kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalankan ujian RT-PCR dan RTK-Ag bagi mengesan individu dijangkiti COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali berkata, kelulusan diberi KKM bagi Makmal PBM menjalankan kedua-dua ujian itu berkuat kuasa semalam.

Katanya, sistem Makmal Diagnostik PBM itu turut disokong oleh sistem Tracvirus, sekali gus berupaya membantu aktiviti saringan yang dijalankan oleh fasiliti kesihatan KKM, seterusnya membantu mempercepatkan usaha mengawal jangkitan wabak terbabit dalam
komuniti.

SULAIMAN. Gambar fail.

“Makmal itu mampu menerima 250 sampel bagi RT-PCR dan RTK-Ag setiap hari dengan keputusan bagi RT-PCR mampu diperoleh dalam tempoh 24 jam selain RTK-Ag dalam tempoh sejam.

“Ia memberikan pilihan tambahan kepada hospital swasta dan klinik-klinik di Melaka yang menawarkan ujian calitan (swab test) COVID-19 untuk mendapatkan ujian RT PCR dengan makmal ini.

“PBM juga menawarkan perkhidmatan kaunter ujian saringan bergerak atau ‘drive-thru’ atau ‘on-site’ bagi COVID-19 dengan kerjasama hospital dan klinik panel individu atau syarikat dengan tempahan awal di talian 010-530 2600,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, dengan kemudahan fasiliti baharu PBM itu ia diharap bukan sahaja mampu mengurangkan beban sampel di Hospital Melaka malah fasiliti KKM di negeri zon selatan iaitu Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, sehingga kini terdapat 35 fasiliti swasta yang diiktiraf bagi menjalankan ujian tersebut di seluruh negara termasuk sebuah makmal swasta di negeri ini.

KAUNTER penerimaan sampel.

“Melalui kejayaan ini, Kerajaan Negeri Melaka berharap kapasiti ujian saringan COVID-19 dapat ditingkatkan di Melaka sekali gus menyokong inisiatif yang kita cadangkan semasa sesi mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Pengurusan COVID-19.

“Kita mencadangkan untuk individu yang ingin mendapat kebenaran rentas negeri wajib menjalani ujian calitan COVID-19 RT-PCR dengan harapan cadangan itu mampu diterima oleh Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1061
Kongsi :
Previous post Bantuan kebajikan akan diteruskan- Latipah
Next post COVID: 126 kematian dicatatkan, tertinggi setakat ini
Ubah saiz-+=