Bantuan kebajikan akan diteruskan- Latipah

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TABOH NANING 2 Jun – Bantuan kebajikan rakyat akan terus diperluaskan di negeri ini biarpun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh berkuat kuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Wira Latipah Omar berkata, bantuan kebajikan itu akan diteruskan berperingkat di negeri ini bagi membantu rakyat terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya, pelbagai bentuk bantuan kebajikan telah disalurkan menerusi peruntukan kerajaan negeri dan persekutuan antaranya Tabung Amanah Kebajikan Melaka, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) serta beberapa agensi kebajikan terlibat telah menjalankan tanggungjawab itu sejak sebelum ini.

PENGERUSI Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Wira Latipah Omar

“Bantuan ini akan disampaikan berperingkat dan kesemua penerimanya sudah tersenarai berdasarkan nama berdaftar dari agensi masing masing.

“Kita ada penerima di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta pelbagai lagi.

“Mereka (agensi) ini ada pelbagai bentuk bantuan tersendiri dan sedia ada telah menyampaikan kepada masyarakat secara berperingkat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Latipah, peruntukan berkenaan juga disalurkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing masing dan pengagihan dilakukan di kawasan mereka secara berperingkat.

“Menerusi dana PERMAI pula kita meluluskan 24,400 penerima kit PERMAI,” katanya.

Dalam pada itu menurutnya, bagi memperkasakan nilai tanggungjawab sosial kepada masyarakat beliau menyarakankan semua syarikat dan pengilang besar di negeri serta ADUN kawasan perlu bersama dalam menyalurkan bantuan kebajikan kepada rakyat.

Katanya, ini berikutan semua rakyat terjejas akibat penularan COVID-19 dan perlu diberi perhatian bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung.

“Syarikat besar perlu main peranan dalam perkara ini bagi menyumbang kepada mereka yang terkesan, begitu juga ADUN kawasan yang perlu bertindak segera demi kebajikan penduduk di kawasan mereka.

“Selain itu, ahli keluarga juga perlu main peranan dalam membantu keluarga masing masing kerana dalam keadaan sekarang semua masyarakat terjejas dan menyebabkan kerajaan memfokuskan kepada yang lebih memerlukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

398
Kongsi :
Previous post Aktiviti ‘jogging’, senaman terhad di kawasan kediaman – MKN Melaka
Next post Melaka kerajaan negeri pertama miliki makmal saringan COVID-19 sendiri
Ubah saiz-+=