Aktiviti ‘jogging’, senaman terhad di kawasan kediaman – MKN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 2 Jun – Aktiviti riadah hanya boleh dilakukan di kawasan kediaman iaitu terhad bagi aktiviti ‘jogging’ dan senaman, manakala aktiviti berkumpulan adalah tidak dibenarkan.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Mohd Nasrul Menhat berkata aktiviti itu terhad sepanjang penutupan penuh sektor sosial dan mengehadkan sektor ekonomi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang berkuat kuasa bermula 1 hingga 14 Jun ini.

“Ini sebagai langkah drastik kerajaan bagi membendung dan melandaikan keluk penularan wabak COVID-19 dan mengambil kira keseimbangan keselamatan nyawa dan ekonomi negara,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Jelasnya, pada ketika ini Malaysia berada di tahap kritikal dan memberi risiko terhadap kegagalan sistem kesihatan negara.

“Bagi meneruskan kelangsungan hidup dan kestabilan ekonomi, aktiviti perkhidmatan perlu dan 17 sektor ekonomi seperti perniagaan termasuk penjaja di tepi jalan tetap beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Krisis pandemik ini bukan seperti krisis keganasan dan peperangan yang mana musuh nampak di depan mata, virus ini berada di persekitaran tanpa kita sedar.

“Jadi pembudayaan norma baharu dan amalam kendiri amat penting dan perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Mohd Nasrul meminta supaya semua masyarakat mematuhi SOP dengan berada di rumah masing-masing dan tidak keluar untuk tujuan yang tidak penting dan bersifat kritikal.

“Ini adalah peperangan bersama dan perlu bersatu hati antara masyarakat dan kerajaan dalam membendung penularan wabak ini daripada terus merebak.

“Kerajaan melalui MKN menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Melaka khususnya untuk kita bersama menggunakan fasa ini bagi mematuhi SOP yang ditetapkan dan dapat memutuskan penularan wabak pandemik COVID-19,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

636
Kongsi :
Previous post Kesesakan di Plaza Tol Jalan Duta bukan kerana balik kampung- Polis
Next post Bantuan kebajikan akan diteruskan- Latipah
Ubah saiz-+=