Kesesakan di Plaza Tol Jalan Duta bukan kerana balik kampung- Polis

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KUALA LUMPUR 2 Jun – Polis menafikan kesesakan jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta pada 31 Mei lalu, berpunca daripada orang ramai yang dalam perjalanan pulang ke kampung seperti tular di media sosial, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, semakan kandungan video berkenaan mendapati, kesesakan sepanjang tiga kilometer sebelum plaza tol itu berlaku antara 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, pada tarikh berkenaan.

KESESAKAN di Plaza Tol Duta berpunca daripada pemeriksaan lebih ketat dilakukan oleh anggota sekatan jalan raya trafik Kuala Lumpur. Foto FMT.

“Punca utama kesesakan adalah kerana pemeriksaan rapi oleh pihak polis, bagi memastikan orang awam mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, dan hasil pemeriksaan secara menyeluruh mendapati kenderaan-kenderaan itu mempunyai surat kebenaran merentas negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkefly berkata, kesesakan itu juga disebabkan orang ramai keluar membuat pelbagai urusan penting, sebelum bermulanya sekatan pergerakan penuh.

Beliau berkata pada tarikh dan masa berkenaan, pihaknya telah memeriksa kira-kira 4,536 kenderaan yang melalui plaza tol itu.

“JSPT KL akan terus membuat pemeriksaan secara terperinci, bagi memastikan tiada pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, aliran trafik di plaza tol berkenaan pada semalam mencatatkan penurunan sebanyak 66 peratus.

“Pemantaun berterusan oleh JSPT mendapati tiada sebarang kesesakan dikesan di semua sektor lebuh raya dan sekatan jalan raya selepas fasa PKP 3.0 dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menggesa orang ramai untuk menghentikan sebarang penyebaran mesej tidak benar dan sentiasa memastikan kesahihan sesuatu fakta sebelum dimuat naik atau dikongsi dalam laman sosial dan sebagainya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

791
Kongsi :
Previous post Permintaan produk minyak domestik catat peningkatan semula- Mustapa
Next post Aktiviti ‘jogging’, senaman terhad di kawasan kediaman – MKN Melaka
Ubah saiz-+=