Permintaan produk minyak domestik catat peningkatan semula- Mustapa

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR 2 Jun – Permintaan ke atas produk minyak domestik telah mencatatkan peningkatan semula selaras dengan usaha-usaha pemulihan aktiviti ekonomi yang berterusan di Malaysia kecuali sektor penerbangan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata jika dibandingkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 (18 Mac hingga 3 Mei, 2020) dengan PKP 3.0 (12 Mei hingga 7 Jun, 2021), pembukaan beberapa subsektor ekonomi juga telah memainkan peranan dalam membawa kepada peningkatan dalam permintaan minyak.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. Foto -Wikipedia.

“Pelaksanaan program vaksin secara agresif telah membantu proses pemulihan aktiviti ekonomi di beberapa negara. Ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan pengguna dan sekali gus memacu semula permintaan minyak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapa berkata jumlah keseluruhan permintaan minyak mentah dunia dijangka meningkat kepada 94 juta tong sehari pada suku kedua 2021 berbanding dengan 83 juta tong sehari bagi tempoh yang sama tahun lalu.

“Secara purata, harga minyak mentah Brent bagi tempoh Januari sehingga Mei 2021 mencatat US$63 (US$1= RM4.13) setong berbanding US$40 bagi tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan Bukan-Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC+), iaitu meningkatkan pengeluaran sebanyak dua juta tong minyak mentah sehari (mb/d) secara beransur-ansur pada kadar yang sesuai mengikut keadaan pasaran.

Malaysia juga menyambut baik keputusan OPEC +, iaitu memantau asas pasaran minyak bagi memastikan proses untuk mengimbangi dan menstabilkan pasaran minyak global dapat dicapai, katanya.

“Saya telah mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Mesyuarat ke-17 peringkat Menteri Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Bukan-OPEC (juga dikenali sebagai Mesyuarat OPEC+) yang diadakan secara maya pada 1 Jun, 2021,” kata Mustapa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

401
Kongsi :
Previous post Jaring gesa kerajaan benarkan nelayan tanpa lesen beroperasi
Next post Kesesakan di Plaza Tol Jalan Duta bukan kerana balik kampung- Polis
Ubah saiz-+=