COVID: 170 kes baharu, dua kematian di Melaka

Masa Membaca:59 Saat

AYER KEROH 11 Jun – Melaka merekodkan pertambahan 170 kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 14,527 kes.

Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri menerusi laman Facebooknya, daripada jumlah kes baharu ini, sebanyak 48 kes direkodkan penularan dalam kluster kilang.

Jelas kenyataan itu, 39 kes dari Kluster Industri Batu Berendam, lapan kes Kluster Batu 16 Bemban dan satu dari Kluster Industri Pengkalan Balak.

“Lima kes lagi membabitkan penularan dalam kalangan komuniti iaitu Kluster Jalan Tanjung Minyak.

“Setakat ini 27 kluster masih aktif manakala satu lagi membabitkan kluster luar Melaka iaitu Kluster Senawang,”katanya.

Dalam pada itu, JKN turut memaklumkan dua kes kematian direkodkan membabitkan lelaki berusia 51 dan 55 tahun dari daerah Melaka Tengah.

“Kes kematian pertama membabitkan lelaki berusia 51 tahun di Batu Berendam yang tidak mempunyai penyakit kronik, namun dikesan positif menerusi saringan bergejala.

“Bagi kes kematian kedua melibatkan lelaki berusia 55 tahun di Krubong yang mempunyai penyakit darah tinggi dan jantung, dikesan positif daripada saringan kontak rapat ahli keluarga,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, JKN memaklumkan sebanyak 358 kes dilaporkan sembuh sekali gus merekodkan peningkatan kes sembuh berbanding 213 kes semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

302
Kongsi :
Previous post Tak boleh beli lebih tiga minyak masak peket!
Next post Warga Malaysia dihukum penjara selepas 20 tahun melarikan diri
Ubah saiz-+=